Selain lokasi yang strategik dan berhampiran dengan 
pelbagai kemudahan, tempat penginapan yang santai dan 
‘mesra’ kanak-kanak bagi mereka yang berkeluarga juga 
antara kriteria yang berada dalam senarai pilihan pelancong.

Kesemua ciri-ciri itu bukanlah sukar untuk didapati sekiranya pelancong yang datang bercuti di pusat peranginan terkenal, Cameron Highlands memilih untuk menginap di Hotel Avillion Cameron Highlands.

Berkonsepkan moden kontemporari yang diterapkan dalam rekaan dalaman dan dekorasi, hotel yang terletak di Tanah Rata itu semestinya menjadi pilihan pengunjung yang 
melancong ke pusat peranginan tersebut.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amirul Baharom 
berkata, hotel tersebut yang memulakan operasinya secara 
rasmi pada bulan lalu mempunyai 100 buah bilik.

Menurutnya, terdapat lima pilihan bilik untuk pengunjung 
iaitu Superior Studio, Deluxe Studio, Two Bedroom Suite, 
Family Suite dan Two Bedroom Premium Suite.

Katanya, pengunjung boleh memilih bilik yang sesuai 
dengan kapasiti dan bajet masing-masing dengan harga yang 
ditawarkan bermula daripada RM420 hingga RM800 bagi satu 
malam.

“Kita yakin hotel yang terletak di Tanah Rata ini menjadi 
pilihan pengunjung, bukan sahaja kerana lokasinya yang 
strategik, malah keadaan hotel baharu dengan persekitaran 
bilik yang luas, selesa dan bersih.

“Selain memberikan perkhidmatan terbaik kepada penginap, pengunjung juga pastinya selesa apabila kita turut 
menyediakan taman permainan kanak-kanak di dalam bangunan hotel ini,” katanya.

Amirul berkata, Avillion Cameron Highlands merupakan 
hotel kelima di bawah Kumpulan Hotel Avillion selepas Avillion Port Dickson, Avillion Admiral Cove, Avillion Legacy Melaka dan Avillion Villa Cinta Bali.

Katanya, hotel itu juga menyediakan dua bilik mesyuarat 
yang boleh dijadikan lokasi acara, taman permainan kanak-kanak dan gimnasium, selain restoran yang akan dibuka nanti.

“Apa yang lebih menarik di hotel ini ialah kami merancang untuk memberi pilihan kepada pengunjung mendapatkan khemah daripada kakitangan dan memasangnya di balkoni bagi mereka yang menginap di bilik yang mempunyai balkoni.

“Ini sesuatu yang unik bagi pengunjung di mana mereka 
boleh menghirup udara segar dan dingin di tanah tinggi ini sambil berada di dalam khemah, selain di dalam bilik hotel,” katanya.

Tambahnya, Avillion Cameron Highlands dijangka dikunjungi seramai 50,000 penginap sehingga hujung tahun 
ini.

“Bagi tempoh sebulan, disasarkan kira-kira 3,000 
pelancong akan menginap di sini,” katanya.