Kilang Wajib Sediakan Hostel Untuk Pekerja Asing

Kilang Wajib Sediakan Hostel Untuk Pekerja Asing

SEREMBAN, 26 NOV – Syarikat dalam industri perkilangan yang ingin melabur di Negeri Sembilan perlu menyediakan hostel untuk pekerja warganegara asing, demikian saranan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

 

Beliau berkata ini bagi mengelakkan ‘lambakan’ pekerja asing di kawasan kejiranan yang dikhuatiri boleh mencetuskan masalah sosial dalam institusi masyarakat.

“Negeri Sembilan sekarang ini tengah pesat membangun dan banyak pelabur yang ingin membuka perniagaan di sini, oleh itu saya tidak mahu pekerja asing mereka duduk merata-rata di kawasan kediaman keluarga kerana ini boleh menimbulkan pelbagai permasalahan.

“Mereka (syarikat) perlu sediakan hostel kerana saya mahu sesuatu pembangunan itu haruslah mendatangkan kesejahteraan kepada masyarakat,” katanya dalam ucapan sambutan Karnival Lavender Heights 2017 di sini, hari ini.

Mohamad berkata syarat yang ditetapkan kepada syarikat dalam industri perkilangan itu sejajar dengan dasar kerajaan negeri ‘Memakmurkan Negeri, Mensejahterakan Rakyat’.

Sementara itu, Mohamad berharap agar kawasan penempatan penduduk terus bersatu padu, hormat menghormati dan meningkatkan aktiviti kemasyarakatan secara bersama.

“Macam penduduk di Taman Lavender Heights ini, rata-ratanya merupakan golongan elit, penjawat awam yang berpangkat tinggi dan pemimpin tempatan dan saya rasa mereka boleh sumbangkan kepakaran masing-masing dalam menjalankan aktiviti kemasyarakatan supaya dapat menjadi contoh.

“Saya juga setakat ini cukup berbangga dengan pendekatan yang dibuat persatuan penduduk di Taman Lavender Height ini atas penganjuran karnival seperti ini yang bertujuan mengeratkan silaturahim.

“Jika ada persatuan penduduk daripada negeri luar yang ingin melihat bagaimana pengurusan persatuan penduduk di negeri ini, saya tanpa segan silu akan menyuruh mereka supaya belajar daripada persatuan penduduk di Taman Lavender Heights ini,” katanya.

Pada karnival itu, pelbagai aktiviti dianjurkan seperti sukaneka, gerai jualan, aktiviti berkuda dan pameran daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis DiRaja Malaysia serta pemeriksaan kesihatan dari Hospital Salam Senawang. – Bernama