Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, kadar dividen tinggi yang diumumkan jelas mencerminkan strategi pelaburannya yang pelbagai.

Menurutnya, CIMB menyokong sepenuhnya usaha KWSP untuk menjadikan persaraan sebagai topik utama agar lebih ramai golongan muda boleh merancangnya, sama ada menerusi KWSP atau Skim Persaraan Swasta, sebaik sahaja mereka mula bekerja.

Semalam, Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman mengisytiharkan kadar dividen 6.9 peratus bagi simpanan konvensional dan 6.4 peratus bagi simpanan syariah untuk tahun 2017 dengan jumlah agihan dividen keseluruhan RM48.13 bilion.

Sementara itu, pakar ekonomi, Profesor Dr. Barjoyai Bardai berkata, kadar dividen itu mencerminkan pertumbuhan ekonomi negara yang berada pada tahap memberangsangkan walaupun dunia amnya menghadapi masalah ketidaktentuan ekonomi pasaran.

Beliau yang juga Pengarah Program Global Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) berkata, sekiranya KWSP terus mengekalkan prestasi yang cemerlang, beliau menganggarkan kadar dividen boleh mencecah lebih tinggi sehingga lapan peratus pada tahun hadapan.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Madeline Berma berkata, kadar dividen tinggi menunjukkan KWSP sebagai dana persaraan yang sentiasa komited meningkatkan nilai tabungan ahli.

“Berdasarkan prestasi pelabu­ran dan aset portfolio KWSP, tidak hairan kadar dividen ini merupakan yang tertinggi sejak 1997.

“Sebanyak 48.58 peratus daripada aset pelaburan KWSP dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap dan 42.33 peratus dalam ekuiti, manakala selebihnya 4.03 peratus dan 5.06 peratus masing-masing dalam hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu, aset pelaburan KWSP yang bernilai RM731.11 bilion setakat 31 Disember 2016 berbanding jumlah simpanan ahli sebanyak RM704.27 bilion menandakan kekukuhan portfolio pelaburan KWSP.