Lebih 4,000 Premis Diperiksa

Lebih 4,000 Premis Diperiksa

PORT DICKSON – Lebih 4,000 premis perniagaan di seluruh negeri ini diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan sepanjang lima musim perayaan tahun lalu, di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan.

Pengarah KPDNKK negeri, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, pemeriksaan terhadap 4,752 premis itu dilakukan semasa sambutan Tahun Baharu Cina, Ramadan, Aidilfitri, Deepavali dan Krismas.

“Daripada jumlah pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 39 kes dihasilkan dan RM2,004.68 nilai rampasan direkodkan.

“Manakala jumlah kompaun yang diterima daripada keseluruhan kes sebanyak RM7,700,” katanya.

Menurutnya, untuk tahun ini bermula Januari sehingga Khamis lalu, sebanyak 4,533 premis sudah diperiksa pihaknya.

“Pemeriksaan membabitkan premis di kawasan bandar dan luar bandar. Ini adalah pemeriksaan rutin yang dilaksanakan KPDNKK bagi memastikan peniaga mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, sekali gus memelihara hak pengguna,” katanya kepada pemberita pada sidang media Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2018, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Datuk Abu Ubaidah Mohd Redza.

Sementara itu, Abu Ubaidah berkata, KPDNKK menentukan harga maksimum 12 jenis barangan harga terkawal untuk dikuat kuasakan bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2018.

“Skim ini bermula dari Sabtu lalu hingga 21 Februari ini, iaitu tempoh 12 hari.

“Peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum, yang ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain,” katanya.