Liga Badminton Remaja Cetus Fenomena

Liga Badminton Remaja Cetus Fenomena

KUALA LUMPUR, 12 NOV. – Penganjuran Liga Badminton Remaja Kebangsaan Air Asia-BAM berjaya mencetuskan fenomena dalam kalangan pelajar sekolah di seluruh negara sekali gus memberi gambaran bahawa Malaysia masih mampu memiliki pelapis berpotensi untuk masa akan datang.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, sambutan yang diberikan daripada sekolah-sekolah di seluruh negara termasuk Putrajaya sangat luar biasa dan mereka berjaya memenuhi kuota maksimum 16 pasukan lelaki dan 16 pasukan wanita.

Katanya, berbanding sebelum ini hanya empat atau lima negeri sahaja yang benar-benar aktif menyediakan kejohanan seperti ini namun menerusi pendekatan baharu yang diperkenalkan BAM kesemua persatuan di peringkat negeri jelas bersemangat untuk menganjurkan pertandingan itu.

“Liga ini saya rasakan telah berjaya mencetuskan fenomena di negara ini kerana sebelum ini memang susah untuk melihat negeri-negeri menganjurkan pertandingan seperti ini, kalau ada pun hanya empat atau lima negeri sahaja dan ini juga cara terbaik untuk merakyatkan sukan badminton.

“Selepas pertandingan di peringkat negeri tamat, kesemua pemenang akan bertanding di peringkat nasional yang akan diadakan di Stadium Badminton Kuala Lumpur bagi merebut slot automatik ke dalam BAM.

“Menerusi penajaan Air Asia selama tiga tahun ini, saya percaya bahawa pertandingan ini akan menjadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Liga Badminton Remaja Kebangsaan Air Asia-BAM merupakan pendekatan terkini yang dilakukan badan induk sukan badminton negara bagi mencungkil bakat pemain muda supaya dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Pertandingan yang menggunakan konsep Piala Thomas/Uber itu menyasarkan penglibatan 5,000 peserta dari 1,000 sekolah di seluruh negara dengan tawaran kemasukan automatik ke dalam BAM sebagai insentif utama selain hadiah wang tunai.

Liga yang julung kali dianjurkan itu mendapat sokongan daripada Airasia Berhad yang tampil selaku penaja utama dengan nilai tajaan berjumlah RM1 juta, dan penaja bersama iaitu Enra Berhad yang menyumbang RM500,000, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) RM250,000. – UTUSAN