Lynas: Wong Tuck, 14 Individu Diperintah  Bela Diri

Lynas: Wong Tuck, 14 Individu Diperintah Bela Diri

KUANTAN, 13 JUN : Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tuck dan 14 individu lain diperintah untuk membela diri bersabit tuduhan menyertai himpunan haram bagi membantah pembinaan kilang Lynas Corporation Sdn Bd (Lynas), di Gebeng, pada 2014.

Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Unaizah Mohd memerintahkan semua tertuduh membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh.

Wong, 58, bersama Raymond Ng Abdullah, 42; Rapar Ahmad, 47; Ta Weng Seng, 40; Hew Kuan Yau 47; Lee Khai Ming, 40; Tan Chee Hooi, 41; Zamri Zonal, 29; Thomas Wang, 58, dan Chong Kong Yuen, 67 dituduh mengadakan perhimpunan haram bagi membantah operasi kilang Lynas walaupun sudah diminta bersurai oleh Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh.

Mereka yang didakwa mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan, melakukan kesalahan itu antara jam 4 petang hingga 5.30 petang di Jalan Bandaran, Gebeng pada 22 Jun 2014.

Lima lagi tertuduh, Phua Kia Yaw, 46; Wong Chee Wen, 47; Wong Chee Wai, 38; Foong Poh Choo, 39, dan Ho Kam Huat, 50, pula dituduh mengikut Seksyen 147 kanun sama kerana mengadakan perhimpunan yang menyalahi undang-undang bertujuan memprotes operasi Lynas dengan melakukan kekerasan iaitu merempuh halangan polis pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Kam Huat turut dituduh menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam dengan menendang Detektif Korporal Isaher@Azhar Abd Hamid yang cuba menangkapnya dengan menyepak dan mencakar sehingga mendatangkan kecederaan di kaki dan muka mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Ketiga-tiga pertuduhan itu masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Unaizah menetapkan 21 Julai ini dan 28 serta 29 Ogos ini untuk perbicaraan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Faridz Gohim Abdullah manakala semua tertuduh diwakili peguam Mohd Haijan Omar.