Mahkamah Sebulat Suara Tolak Rayuan Anwar Mohon Deklarasi Hak Mengundi

Mahkamah Sebulat Suara Tolak Rayuan Anwar Mohon Deklarasi Hak Mengundi

PUTRAJAYA, 13 JUN : Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon pengisytiharan untuk mempunyai hak mengundi dalam pilihan raya.

Ketua Umum PKR itu pada 2015 memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan memohon pengisytiharan bahawa beliau layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada tahun itu dan semua pilihan raya akan datang.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Umi Kalthum Abdul Majid berkata, keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Anwar untuk semakan kehakiman, adalah sah.

“Kami menolak rayuan dengan bayaran kos dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan deklarasi perayu (Anwar),” katanya.

Anwar sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman di mana beliau menamakan SPR, bekas pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan kerajaan sebagai responden.

Beliau memohon daripada mahkamah sebuah perisytiharan, di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkannya mengundi.

Pemimpin de facto PKR itu menjalani hukuman penjara lima tahun bagi keselahan liwat, memfailkan saman itu selepas Abdul Aziz memutuskan bahawa beliau tidak dapat mengundi dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh, kerusi yang pernah diwakilinya sebelum ini.

Dalam pada itu salah seorang peguam Anwar, N Surendran berkata pihaknya selepas ini akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Kita sudah pasti akan merayu kepada mahkamah persekutuan,” katanya.