MAINS Catat Sejarah Perolehi Sijil Pematuhan Sistem Perakaunan Standard Bagi Agensi Kerajaan (SAGA) Tahun 2017

MAINS Catat Sejarah Perolehi Sijil Pematuhan Sistem Perakaunan Standard Bagi Agensi Kerajaan (SAGA) Tahun 2017

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) catat sejarah agensi pertama di Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Negeri yang kedua memperolehi Sijil Pematuhan Sistem Perakaunan Standard Bagi Agensi Kerajaan (SAGA) Tahun 2017.

Majlis Penganugerahan Sijil Pematuhan SAGA Tahun 2017 yang dilaksanakan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia telah diadakan pada 22 November 2017 bertempat di The Light Hotel Seberang Jaya Pulau Pinang.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Ketua Akauntan Negara Malaysia, Tuan Haji Saat Esa. Beliau memaklumkan sejak pelaksanaan penganugerahan sijil ini yang bermula pada tahun 1997 hingga kini, sebanyak 59 daripada 416 agensi berjaya memperolehi sijil tersebut.

Tahun ini telah mencatatkan sejarah bilangan agensi kerajaan yang berjaya memperolehi Sijil Pematuhan SAGA sebanyak 23 yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 59 agensi yang telah dianugerahkan Sijil Pematuhan SAGA.

Jawatankuasa Pematuhan SAGA telah membuat lawatan pada 30 Oktober 2017 yang lalu bagi menilai Sistem Perakaunan dan Kewangan MAINS yang dikenali sebagai MAINS ONLINE, supaya memenuhi 12 kriteria fungsi dan 9 kriteria teknikal pematuhan SAGA yang telah ditetapkan.

Pelaksanaan, pemantauan dan pematuhan Sistem Perakaunan Standard Bagi Agensi Kerajaan “Standard Accounting System For Government Agencies” (SAGA) adalah selaras dengan pemakaian Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bil. 2 Tahun 2015.

Pengiktirafan yang diperolehi oleh MAINS ini menggambarkan bahawa Penyata Kewangan MAINS dapat disediakan dengan cepat (real time), tepat, kemaskini dan berintegriti dengan kod perakaunan yang ditetapkan serta aspek kawalan keselamatan data yang tinggi.

Hadir sama, Setiausaha MAINS, Tuan Haji Kamal Amran Kamarudin; Ketua Akauntan MAINS, Tuan Haji Azzerol Effendi Abdul Kadir dan pegawai-pegawai dari Bahagian Kewangan serta Unit Teknologi Maklumat MAINS.