Makan Malam Bersama Presiden Universiti Muhammad Ke-5, Jalin Hubungan Dua Hala

Makan Malam Bersama Presiden Universiti Muhammad Ke-5, Jalin Hubungan Dua Hala

PORT DICKSON, 22 MEI – Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan menghadiri Majlis Makan Malam bersama Presiden Universiti Muhammad V, Maghribi, Prof Dr Saaid Amzazi di Kompleks Baitul Hilal, Port Dickson.

Turut sama, Datuk Bandar, Bandaraya Rabat, Dr Saied Ibrahim Al Joumani dan Pengarah Perhubungan Antarabangsa Parlimen Maghribi, Dr Hassan Ammari.

Majlis ini diadakan bertujuan bagi merapatkan hubungan dua hala di antara Kerajaan Negeri Sembilan dengan Maghribi yang telah menyediakan kuota khas bagi pelajar dari Negeri Sembilan untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka di negara itu.

Bermula tahun 2014, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menghantar pelajar-pelajar ke Maghribi dengan menggunakan kuota pihak Yayasan As-Sofa.

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terpilih sahaja menggunakan kuota daripada Kementerian Pendidikan Tinggi yang dihadkan seramai 15 orang, manakala pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menggunakan kuota Yayasan As-Sofa.

Sehingga kini, jumlah pelajar melanjutkan pengajian ke Maghribi bawah tajaan MAINS adalah seramai 43 pelajar iaitu 39 dalam bidang Pengajian Islam dan empat dalam Bahasa Arab.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Dato Haji Tun Hairudin Abu Bakar; Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan, Dato’ Haji Mohd Shukor Bin Sabudin; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Dato’ Haji Abdul Halim Abdul Latif; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Tuan Haji Zamri Mat Kasim dan Setiausaha MAINS, Tuan Haji Kamal Amran Kamarudin.