Dua juara bertahan dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecatatan anggota badan atas), Cheah Liek Hou dan perseorangan lelaki SS6 (masalah ketinggian), Didin Terasoh akan menjadi sandaran utama negara dalam edisi kali ini bagi mempertahankan kejuaraan.

Selain mereka, skuad badminton para kebangsaan mempertaruhkan Liek Hou-Hairol Pozi yang juga juara bertahan dalam acara beregu lelaki SU5 (kecatatan anggota badan atas) bersama Madzlan Saibon yang merupakan pemenang pingat gangsa dalam acara perseorangan lelaki WH2 (kerusi roda) serta Bakri Omar, pemenang pingat gangsa dalam acara perseorangan lelaki SL3 (kecatatan anggota badan bawah).

Pengurus pasukan negara, Dr. Naharuddin Hashim berkata, sasaran dua kejuaraan itu dibuat berdasarkan kepada prestasi semasa dan ia kurang satu kejuaraan berbanding London, dua tahun lalu.

“Kita juga berharap pasangan beregu lelaki beraksi cemerlang mempertahankan kejuaraan diraih di London,” katanya. sebelum berangkat ke Korea Selatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini semalam.- Utusan