Masalah Lalat Serius, Pengusaha Ladang Ayam Bakal Berdepan Tindakan Undang-Undang

Masalah Lalat Serius, Pengusaha Ladang Ayam Bakal Berdepan Tindakan Undang-Undang

WISMA NEGERI, 03 JAN – Kerajaan Negeri Sembilan akan mengenakan tindakan undang-undang kepada pengusaha ladang ayam yang masih berdegil dan masih melaksanakan penternakan ladang ayam secara terbuka dengan arahan menutup dan merobohkan reban berkenaan setelah mendapat arahan mahkamah.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri telah mengklasifikasikan banyak reban ayam yang dijalankan secara sistem terbuka dan dikenalpasti menjadi punca utama masalah lalat di beberapa kawasan di negeri ini.

Menurut sumber Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, sehingga Disember 2017 terdapat kira-kira 218 buah ladang ternakan ayam di Negeri Sembilan dengan 154 buah berlesen dan 64 buah lagi tidak berlesen.

Daripada 64 buah ladang yang tidak berlesen, 38 ladang ternakan gagal rayuan, manakala 26 buah lagi tidak merayu atau tidak memohon pembaharuan lesen.

Menteri Besar berkata, masalah lalat ini amat serius kerana ia membabitkan keselamatan kesihatan di negeri ini. Malah, sejak 10 tahun lalu notis mengarahkan penternak ayam menukar kepada sistem ladang tertutup telah dibuat tetapi tidak diendahkan pengusaha, sebaliknya mereka bersikap sambil lewa dan langsung tidak mempunyai inisiatif untuk menukarnya.

Di antara kawasan terlibat ialah di Port Dickson dan Rembau dan terdapat beberapa lagi ladang penternakan ayam di Negeri Sembilan yang telah dikenalpasti masih lagi beroperasi secara terbuka dan bakal berdepan tindakan mahkamah.

“Kita tidak lagi punya pilihan kerana kacau ganggu ini amat serius di sesetengah kawasan sehingga ia menyebabkan masalah kepada penduduk setempat,” ujarnya.

Terdahulu, pada Mac tahun lalu Menteri Besar telah memberikan kenyataan akan membekukan pengeluaran lesen baharu kepada pengusaha ladang ayam komersial untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan berterusan di negeri ini.