MB Berbuka Puasa Bersama Warga PDRM Kontinjen Negeri Sembilan

MB Berbuka Puasa Bersama Warga PDRM Kontinjen Negeri Sembilan

SEREMBAN, 13 JUN – Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berbuka bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri Sembilan, Seremban.

Beliau turut ditemani Isteri, YM Raja Datin Seri Dato’ Hajah Salbiah Tengku Nujumudin.

Menteri Besar serta isteri turut menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada balu-balu, anak-anak yatim, anak-anak istimewa dari warga PDRM Kontinjen Negeri Sembilan.

Majlis buka puasa itu kemudiannya diikuti dengan solat Maghrib, bacaan tahlil, solat Isyak dan diakhiri solat terawih yang dipimpin Pegawai Agama Menteri Besar, Ustaz Md Farid Samad.

Menteri Besar dalam ucapannya menyeru agar semua pihak mengambil peluang baki beberapa hari sebelum tibanya Syawal dengan meningkatkan tahap ibadah serta memperbanyakkan kerja-kerja kebajikan.

“Kita bekerja dan melakukan tugas dengan baik menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah, telus dan ikhlas merupakan ibadah.

“Mari kita sama-sama pastikan bahawa ibadah kita kepada tanah air, bangsa dan negara kita lakukan yang terbaik mungkin. Ini akan menjadikan kita seorang yang mempunyai disiplin yang tinggi'” ujarnya.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Dr Haji Awaludin Said; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Seri Haji Mat Ali Hassan; Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Dato’ Jaafar Mohd Yusof, Pegawai Kewangan Negeri Sembilan, Dato’ Johani Hassan; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Dato’ Haji Abdul Halim Haji Abdul Latif dan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, SAC Dato’ Muhamad Zaki Harun.