MB Jamin Kesejahteraan Hidup Masyarakat N.Sembilan Terus Terbela

MB Jamin Kesejahteraan Hidup Masyarakat N.Sembilan Terus Terbela

PORT DICKSON, 07 OKT – Kesejahteraan hidup masyarakat di Negeri Sembilan akan terus mendapat pembelaan bagi memastikan negeri ini terus aman dan sejahtera.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan memberi jaminan demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali anjuran MIC Bahagian Teluk Kemang di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson, hari ini.

Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata rakyat perlu bersyukur kerana walaupun tidak senang atau kaya tetapi keamanan masih terjamin, tidak seperti di beberapa buah negara lain yang sedang bergolak.

Katanya lagi, rakyat perlu akui bahawa kesejahteraan yang dinikmati hari ini tidak dapat dinikmati oleh kebanyakan rakyat di negara luar.

“Saya dan rakan-rakan di Negeri Sembilan akan sentiasa berusaha untuk memastikan kehidupan rakyat di negeri ini akan terus terbela.

“Sebab itulah Kerajaan Negeri Sembilan iaitu Barisan Nasional yang telah dipilih tidak buat perkara yang menyusahkan rakyat,” ujarnya.

Dalam majlis ini Menteri Besar turut menyampaikan bantuan berbentuk hamper makanan dan sedikit sumbangan  bagi persediaan menyambut perayaan Deepavali pada 18 Oktober ini.