MB Rasmi Pecah Tanah SJKC Ulu Kanchong

MB Rasmi Pecah Tanah SJKC Ulu Kanchong

SENAWANG, 12 APRIL – Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan hari ini merasmikan pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Ulu Kanchong di Taman Forest Heights, Senawang.

Bangunan sekolah ini akan dibina di atas sebidang tanah seluas 5.1 ekar yang disumbangkan oleh Sunrise MCL Land Sdn Bhd.

Sebanyak RM4 juta diperuntukkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Pejabat Perdana Menteri bagi membina dua blok bangunan sekolah yang dilengkapi 12 bilik darjah serta bilik-bilik khas seperti bilik komputer, bilik muzik dan makmal.

Menteri Besar bercakap di sidang media berkata, pemindahan SJKC Ulu Kanchong di Rantau ke Forest Heights berikutan berlaku masalah kekurangan pelajar di sana.

Bagi mengatasi masalah tersebut satu mesyuarat gabungan Lembaga Pengurus Sekolah bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah diadakan dan semua ahli yang hadir telah bersetuju supaya sekolah tersebut dipindahkan ke mana-mana kawasan yang memerlukan SJKC.

“Keputusan memindahkan SJKC ini adalah tepat dan ia akan dapat memberikan kemudahan kepada penduduk untuk menghantar anak-anak ke sekolah,” katanya.

Projek pembinaan SJKC Ulu Kanchong akan bermula pada Mei ini dan dijangka mula beroperasi pada awal tahun 2020.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Dato’ Chong Sin Woon dan Pengarah Pendidikan Negeri, Tuan Pkharuddin Haji Ghazali.