Menteri Besar Rasmi Karnival Kesihatan Kuala Pilah 2018

Menteri Besar Rasmi Karnival Kesihatan Kuala Pilah 2018

KUALA PILAH, 01 FEB – Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan merasmikan Karnival Kesihatan: Sihat & Seimbang Kuala Pilah 2018 di Dewan Dato’ Bahaman Samsudin, hari ini.

Karnival kesihatan ini dianjurkan oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Pusat Penyelidikan Mizan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tujuan karnival ini diadakan adalah sebagai salah satu program intervensi kesihatan berdasarkan hasil kajian kluster kesihatan dalam kalangan masyarakat di Kuala Pilah.

Di samping itu, program ini juga diadakan untuk mewujudkan kesedaran kepentingan menjaga kesihatan bagi mencegah dan mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit.

Program ini bertepatan dengan konsep ‘Mizan’ iaitu untuk menerapkan keseimbangan dalam kehidupan terutamanya dari perspektif kesihatan.

Menerusi karnival ini para pengunjung ditawarkan perkhidmatan secara percuma bagi pemeriksaan dan saringan kesihatan, pemeriksaan pergigian dan pemeriksaan mata, klinik CPR, kaunseling keluarga dan pameran kesihatan.

Dalam ucapannya Menteri Besar berkata, ramai penduduk di Kuala Pilah yang terpaksa bergantung pada orang lain bukan kerana tidak berkemampuan tetapi disebabkan oleh faktor kesihatan.

Justeru itu katanya, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil inisiatif untuk menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada orang awam, bukan hanya sekadar menyediakan perkhidmatan di hospital.

Turut hadir Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dato’ Norhayati Omar; Exco Perpaduan dan Integrasi Nasional, Dato’ Haji Ismail Lasim dan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Dato’ Seri Haji Hasan Malek.