Menteri Besar Terima Watikah Pelantikan Sebagai Penaung KRS N.Sembilan

Menteri Besar Terima Watikah Pelantikan Sebagai Penaung KRS N.Sembilan

KUALA PILAH, 12 OGOS – Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dilantik sebagai Penaung Kadet Remaja Sekolah (KRS) Negeri Sembilan.

Pemakaian pangkat dan penyampaian watikah telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof di Majlis Pentauliahan dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pegawai Kehormat KRS serta Perhimpunan KRS Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2017 di Kem Rimba Ilmu, Kuala Pilah.

Menteri Besar dalam sidang media berkata, beliau menerima pelantikan ini atas dasar mewakili Kerajaan Negeri Sembilan bagi menterjemahkan hasrat dan menjayakan Dasar Pelajaran Negeri Sembilan.

Katanya lagi, lantikan ini sekaligus menjadikan hasrat Negeri Sembilan sebagai lembah ilmu dapat dicapai di samping menuai hasil daripada apa yang dilaksanakan.

Antara lain, ia juga mewujudkan kebersamaan Kerajaan Negeri Sembilan dalam membina generasi yang berwibawa di negeri ini.

“Ini mencerminkan bertapa Kerajaan Negeri Sembilan mahu menterjemahkan hasrat untuk menjayakan dasar dan melahirkan seramai mungkin cerdik pandai serta para ilmuan di Negeri Sembilan,” katanya.

Menteri Besar juga berkata, melalui pengamatannya pada masa kini, masalah pelajar adalah berkenaan jati diri dan keperibadian mereka.

Justeru itu, kegiatan kokurikulum di sekolah-sekolah sangat penting untuk dijadikan asas serta platform dalam membentuk jati diri yang baik.

“Kesemua kegiatan kokurikulum adalah berasaskan kepada membina dan membentuk jati diri, membentuk keperibadian yang baik serta semangat kesukarelawanan yang tinggi,” ujarnya.

Dalam majlis yang sama Exco Pendidikan dan Kesihatan, Dato’ Haji Shamshulkahar Haji Mohd Deli dilantik sebagai Penasihat Kehormat KRS Negeri Sembilan.

Turut hadir, ADUN Juasseh, Dato’ Haji Mohammad Razi Haji Kail; Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, YB Sohibus Samahah Dato’ Haji Mohd Yusof Haji Ahmad dan Pemangku Pengarah Pendidikan Negeri, Tuan Pkharuddin Haji Ghazali.