Mula dibina pada Januari 2013, hartanah terbaharu TH yang menelan belanja sebanyak RM463.9 juta itu kini hampir siap sepenuhnya dan dijangka beroperasi pada awal Julai ini.

Bertaraf empat bintang, Mo­venpick Hotel & Convention Centre KLIA dibangunkan oleh syarikat pemaju milik penuh TH, TH Properties Sdn. Bhd. (TH Properties) dan dibantu kumpulan konsultan berpengalaman tinggi dalam industri pembinaan yang terdiri daripada firma-firma arkitek, reka bentuk dalaman, landskap dan kejuruteraan.

Pengarah Urusan Kumpulan TH Properties, Datuk Roszali Othman berkata, Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA yang berkeluasan 17.725 ekar (7.173 hektar) adalah milik penuh TH tetapi akan diuruskan oleh Mo­venpick Hotels & Resorts, sebuah syarikat pengurusan hotel antarabangsa.

“Kompleks baharu ini bukan sahaja menunjukkan komitmen TH dalam memberikan kemudahan terbaik khususnya dari segi perkhidmatan hotel mesra pengguna muslim di negara ini, malah turut membuka pelbagai peluang pelaburan dan ekonomi.

“Baru-baru ini sebagai contoh, Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA telah mengadakan sesi temu duga terbuka untuk mengisi 255 jawatan di pelbagai bahagian,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Menurut Roszali, terdapat empat komponen dalam Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA iaitu hotel, pusat konvensyen, astaka dan bangunan tempat letak kenderaan bertingkat.

Hotel yang terdiri daripada tiga buah bangunan sembilan tingkat memuatkan 333 buah bilik selain dilengkapi restoran, kedai, pusat spa dan kesihatan serta gimnasium.

Pusat konvensyen pula antaranya dilengkapi dengan dewan banquet, bilik seminar, bilik operasi haji, kafetaria dan surau.

Anjung Tinjau yang terletak bersebelahan pusat konvensyen akan menjadi lokasi penganjuran pelbagai aktiviti seperti ruang pameran, ruang majlis dan ruang jualan.

Astaka pula merupakan ruang pameran pelbagai guna manakala bangunan tempat letak kende­raan bertingkat yang menyediakan 617 tapak letak kenderaan, turut memuatkan dua buah ko­lam renang dan gelanggang tenis di atas bumbung.

Menurut Roszali, Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA telah direka bagi memenuhi spe­sifikasi Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang antaranya menekankan penggunaan tenaga dan penyelenggaraan yang efisien.

Sasaran yang diletakkan TH Properties bagi kompleks tersebut dalam GBI ialah mencapai rating perak.

Dalam pada itu, Roszali menjelaskan bahawa reka bentuk Mo­venpick Hotel & Convention Centre KLIA secara keseluruhannya bercirikan seni bina Islam.

Paling ketara, kata beliau, ke­seluruhan kompleks itu berwarna putih, merujuk pada warna ihram yang melambangkan kesucian serta kesediaan TH dalam me­laksanakan tanggungjawab kepa­da ummah.

Dinding-dinding bangunan pu­la banyak dihiasi dengan ukiran geometri, salah satu elemen po­pular dalam seni bina Islam.

“Kami juga menggunakan konsep Mashrabiah iaitu panel dengan reka bentuk geometri, menapis cahaya matahari yang memasuki ruang bangunan selain memberikan corak menarik dan suasana menyenangkan di dalam bangunan.

“Di dinding Anjung Tinjau juga kami menggunakan ukiran seni Kufi yang tertera perkataan Pusat Konvensyen Tabung Haji dalam tulisan jawi.

“Tiang-tiang besar di Anjung Tinjau merupakan seni bina Al-A’amida yang banyak digunakan di Sepanyol seperti Masjid Cordoba, landskap dalaman pula kami gunakan seni bina Al-Sahan dan reka bentuk pintu gerbang hotel banyak pengaruh seni bina Turki dan Iran,” jelasnya.

Dengan reka bentuk dan seni bina yang dipamerkan Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, kompleks itu dijangka me­rangkul pelbagai anugerah di pe­ringkat antarabangsa.

Perkara tersebut tidak mustahil berdasarkan rekod cemerlang TH Properties sebelum ini yang dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pembinaan dan Reka Bentuk Hotel Baharu Terbaik Antarabangsa dalam Anugerah Hartanah Antarabangsa 2017-2018 yang diadakan di London, Disember lalu.

TH Properties da­lam majlis sama turut merangkul Anugerah Pembinaan dan Reka Bentuk Hotel Baharu Terbaik Asia Pasifik.

Kedua-dua anugerah berprestij itu diperolehi menerusi pembinaan TH Hotel & Convention Centre (THCC) Kuching, Sarawak.

Sebelum itu, dalam majlis Anugerah Hartanah Asia Pasifik di Bangkok, Thailand pada Mei tahun lalu, TH properties turut membawa pulang tiga anugerah.

Anugerah-anugerah itu ialah Anugerah Pembinaan dan Reka Bentuk Hotel Baharu Terbaik Malaysia bagi THCC Kuching; Anugerah Pangsapuri Terbaik Australia bagi Bay Pavilions di Sydney, Australia dan Anugerah Pembinaan Pejabat Terbaik Malaysia bagi Kompleks Islam Putrajaya.

Walaupun belum beroperasi, Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA sudah pun menerima kira-kira 75 peratus tempahan daripada orang awam sama ada bagi tujuan penginapan mahu pun penganjuran majlis di pusat konvensyen.

Kewujudannya yang menambahkan lagi bilangan hotel mesra pengguna Muslim di negara ini, bakal mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai lokasi pelancongan Muslim terkemuka dunia.

Malah kedudukan TH yang diiktiraf sebagai institusi pengurusan haji terbaik dunia, akan turut melonjak dalam sektor hospitaliti sekali gus memberi manfaat ya­ng besar kepada pendeposit-pendepositnya.