Mungkin Bermotif Dendam

Mungkin Bermotif Dendam

REMBAU, 11 OKT. – Polis tidak menolak kemungkinan motif dendam menyebabkan seorang wanita disimbah cecair yang pada mulanya disangka asid di hadapan pagar sebuah sekolah di daerah ini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif berkata, pihaknya kini sedang mengesan dua suspek lelaki berbadan besar yang menaiki sebuah motosikal jenis LC warna merah semasa kejadian.

Berdasarkan siasatan awal, katanya, mangsa telah bertembung dengan dua suspek yang menaiki motosikal berkenaan ketika dalam perjalanan menghantar anak-anaknya ke sekolah.

“Mangsa yang merupakan ibu tunggal mendapati motosikal berkenaan telah berpatah balik mengekori kenderaannya. Motosikal berkenaan meneruskan perjalanan serta berhenti di simpang berdekatan.

“Mangsa keluar dari kenderaan dan menghantar anak-anaknya ke pagar sekolah. Ketika berjalan balik ke kereta, mangsa telah disimbah cecair,” katanya, semalam

Ibrahim berkata, mangsa mengalami kecederaan ‘first degree burn’ pada muka, leher, dada, lengan kanan dan ‘bilateral eye ulceration’.

“Kecederaan mangsa adalah tidak serius dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan,” katanya. -Sinar