N.Sembilan Bakal Isytihar Seremban Sebagai Bandaraya Tahun Depan

N.Sembilan Bakal Isytihar Seremban Sebagai Bandaraya Tahun Depan

WISMA NEGERI, 13 DIS – Kerajaan Negeri Sembilan kini berada di peringkat akhir menggabungkan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) untuk menjadi sebuah entiti baharu yang dikenali sebagai Majlis Bandaraya Seremban.

Berikut dinyatakan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dalam sidang media yang diadakan selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, hari ini.

Menurut Menteri Besar, Kerajaan Negeri akan memastikan percantuman ini sempurna dan sedang mencari waktu yang sesuai untuk mengisytiharkan Seremban sebagai sebuah bandaraya pada tahun 2018.

“Dari segi teknikal semuanya telah berada di peringkat akhir, cuma menunggu bangunan baharu siap diubahsuai. Apabila siap nanti, ia akan memudahkan orang ramai berurusan dengan Majlis Bandaraya Seremban kerana tidak perlu lagi masuk ke bandar Seremban. Malah di situ juga mempunyai lot parkir yang banyak,” ujarnya.

Menurut Menteri Besar, akan dibuka banyak pejabat-pejabat serantau supaya unit-unit perkhidmatan akan berada di kawasan yang dekat dengan kawasan mereka seperti di Nilai, Mantin dan Rantau bagi memudahkan gerak kerja.

Jelasnya lagi, Unit Kewangan, Teknologi Maklumat (ICT) dan pengurusan akan diletakkan di bawah satu bumbung, manakala unit kejuruteraan dan penguatkuasaan akan dipecah-pecahkan supaya efektif di kawasan-kawasan yang telah dizonkan.

Antara lain, Team Gerak Cepat yang diwujudkan akan memantau sebarang masalah di kawasan-kawasan yang memerlukan tindakan segera.

Sehubungan penggabungan kedua-dua majlis perbandaran tersebut, Menteri Besar berkata bahawa tidak akan berlaku soal pengurangan kakitangan. Sebaliknya jawatan-jawatan kosong yang ada akibat persaraan kakitangan akan diisi.

Apabila Seremban menjadi sebuah bandaraya pada tahun depan, Menteri Besar juga memaklumkan bahawa tidak semestikan cukai akan dinaikkan kerana ia bukan syarat-syarat wajib untuk menjadi sebuah bandaraya.