Nafi Kedah Diberi Layanan Kelas Kedua

Nafi Kedah Diberi Layanan Kelas Kedua

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Kedah diberi layanan kelas kedua berhubung isu pelesenan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), lapor NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH.

Sebaliknya Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan kegagalan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menghantar penyata kewangan beraudit kelab kepada badan induk itu sebelum tarikh tutup punca Kedah perlu melupakan hasrat bertanding saingan Piala AFC tahun depan.

Ini kerana menurut Hamidin, hanya kelab memenuhi kriteria ditetapkan dalam peraturan mengikut tarikh akhir ditentukan oleh FAM akan diberikan lesen AFC dan kebangsaan.

“Sehingga tarikh berkenaan, Kedah tidak menghantar penyata kewangan beraudit mereka yang merupakan kriteria wajib. AFC juga jelas menyatakan bahawa tiada dokumen luar dari sistem CLAS yang boleh dipertimbangkan.

“Ini bermakna, dengan tarikh akhir ditetapkan sistem CLAS dan tarikh FIB bersidang sudah dilewati, tiada pasukan dibenarkan untuk memuat naik apa juga dokumen tambahan.

 “Jadi adalah satu keputusan yang betul untuk tidak memberikan Lesen AFC kepada Kedah dan mencalonkan pasukan lain yang telah pun memiliki Lesen AFC untuk mengisi slot ke Piala AFC. Andai Kedah diberikan Lesen AFC dan dicalonkan untuk ke Piala AFC, kemungkinan audit daripada pihak AFC bakal mendapati yang lesen telah diberi secara salah dan FAM akan dikenakan hukuman,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Susulan itu, Hamidin berharap agar tidak timbul sebarang teori konspirasi atau khabar angin mendakwa FAM dan FMLLP tidak memberi layanan adil kepada Kedah.

“Memang FAM dan FMLLP mahukan pasukan yang terkuat untuk mewakili Malaysia pada kejohanan Piala AFC bagi memastikan kita dapat mengumpul mata ranking yang baik bagi penyertaan pada masa akan datang.

“Namun Kedah telah pun diberikan banyak peluang untuk memenuhi keperluan peraturan sebelum tarikh ditetapkan FIB. Dan perkara ini kami sudah maklumkan kepada KFA pada 1 November lalu.

“Meskipun gagal mendapatkan lesen AFC, mereka berjaya memperoleh lesen kebangsaan untuk beraksi pada Liga Super 2018,” katanya.

Pahang dilaporkan merupakan calon terbaik untuk menggantikan Kedah dalam saingan Piala AFC musim depan berdasarkan kejayaan mereka menduduki tempat kedua dalam saingan Liga Super pada musim ini.- Sinar