Najib Buktikan Tidak Silap Pilih BN Pada PRU13

Najib Buktikan Tidak Silap Pilih BN Pada PRU13

ALOR SETAR, 04 MAC – Selepas kembali menerajui Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Barisan Nasional (BN) terus berusaha gigih meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang diterajuinya.

Hasil kerjasama baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan, rakyat Kedah diyakinkan bahawa kerajaan sedia ada mampu membantu mereka untuk menikmati pelbagai kemajuan menerusi pelbagai usaha yang sedang dilakukan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatan ke negeri ini semalam, turut memberi isyarat keyakinan kepada rakyat Kedah bahawa kerajaan sedia ada bukan sekadar berjanji tetapi memenuhi tuntutan dan janji biarpun bukan pada musim pilihan raya, dengan 99.6 peratus janji manifesto pilihan raya umum (PRU) lepas ditunaikan.

Keyakinan itu bersandarkan kepada kejayaan di peringkat nasional dan negeri meliputi projek infrastruktur, pembangunan pengangkutan, telekomunikasi dan sebagainya termasuk melibatkan urusniaga dengan pelabur utama rantau Asia dan dunia.

“Banyak sudah yang kita tepati dan tunaikan, kita bukan buat janji palsu seperti dakwaan pembangkang,” katanya semasa merasmi penutupan Ekspo Muafakat Kedah di perkarangan Stadium Darul Aman di sini.

Najib turut memberikan memberi bayangan bahawa lebih banyak kemajuan bakal dinikmati jika mandat terus diberikan kepada pemerintahan sedia ada baik di peringkat nasional mahupun negeri.

Hospital, lapangan terbang, bekalan air dan pelbagai lagi projek menaik taraf dan kemajuan untuk membangunkan Kedah sedang dan telah dirancang untuk tempoh lima tahun akan datang sekali gus mengangkat martabat negeri itu di persada lebih tinggi.

Kehadiran perdana menteri ke Kedah bagi memenuhi permintaan rakyat, pastinya dikaitkan dengan PRU yang menjelang tiba, tetapi Najib menjelaskan bahawa segala yang dirancang dan dilaksanakan kerajaan bukan ‘dedak’ seperti didakwa sesetengah pihak tetapi ia memang wajib diberikan sebagai tanda melunaskan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat.

Ketua Pemuda UMNO Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata di bawah kerajaan negeri dan hasil bantuan kerajaan Persekutuan segala isu berbangkit telah diselesaikan dari perihal bekalan air, ekonomi, pendidikan dan lain-lain lagi walaupun pembangkang cuba menanam persepsi negatif.

“Pihak yang memainkan pelbagai isu terhadap kerajaan negeri, adalah pihak yang tiada modal untuk dijual kepada pengundi,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling Mohd Noor Mohd Amin berkata pelbagai perancangan untuk projek pembangunan bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan khasnya kepada golongan muda.

Mengambil contoh pengumuman Najib untuk menjadikan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini sebagai lapangan terbang antarabangsa dalam tempoh lima tahun akan datang, beliau berkata ia bukan sahaja bakal menarik minat lebih ramai pelancong tetapi menjadi satu kelebihan untuk pelabur datang ke negeri ini.

“Saya yakin dan percaya kerajaan negeri dan pusat akan meletakkan pelbagai peluang kepada belia termasuk dalam manifesto nasional dan negeri. Golongan ini perlu dibantu untuk menggerakkan ekonomi,” katanya.

Pada majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2018 Peringkat Kebangsaan di Sungai Petani malam tadi, perdana menteri meyakinkan masyarakat Cina bahawa Malaysia bukan sebuah negara yang bankrap seperti yang didakwa pembangkang.

“Kawan-kawan dari pelbagai latar belakang masyarakat Cina bukan hanya ingin melihat perdana menteri dari dekat, tetapi juga ingin tahu perkembangan terkini khasnya berkaitan ekonomi negara, bukan dakyah atau fitnah,” kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani Datuk Shahanim Mohd Yusoff.

Sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur, Najib sempat menitipkan buah tangan; “Yakinlah, saya akan tetap membantu Kedah lebih ke depan (maju)”. – BERNAMA