‘ Noramfaizul mati syahid’

KUALA LUMPUR: 5 September – Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut menyifatkan kematian Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor sebagai mati syahid akhirat kerana terkorban ketika bertugas dalam misi menghapuskan kejahilan, kemiskinan dan penyakit yang melanda Somalia.

Beliau berkata, mati syahid terdiri daripada tiga bahagian iaitu mati syahid dunia, mati syahid akhirat dan mati syahid dunia akhirat.

“Syahid dunia menjurus kepada peperangan kerana dunia, syahid akhirat pula merujuk kepada kematian yang disebabkan penyakit berbahaya seperti wabak taun atau ditembak, manakala pejuang yang mati disebabkan perang bagi mempertahankan agama Islam pula dianggap mati syahid dunia akhirat.

“Dalam kejadian menimpa arwah, pahala kematiannya insya-Allah syahid akhirat, namun urusan pengebumiannya masih perlu melalui proses sama seperti jenazah lain iaitu dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan akhir sekali dikebumikan di tanah perkuburan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, pemergian Allahyarham boleh diibaratkan sebagai sesuatu yang patut dikenang oleh semua lapisan masyarakat di negara ini.

Noh juga menyeru orang ramai melakukan solat jenazah ghaib terhadap Allahyarham sebagai menghargai pengorbanan beliau sepanjang menjalankan tugasannya.

– berita harian