Kantin Konsep Warung Pertama di NS

Kantin Konsep Warung Pertama di NS

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri, di sini, menjadi sekolah pertama di negeri ini yang menyediakan kantin berkonsepkan stall atau warung kepada pelajarnya dengan menu masakan Melayu, Cina, India dan Barat.

Pengusahanya, Muhammad Nur Arham Mohd Ruslan, 25, berkata, konsep baharu dengan nama ‘The Kenduri Canteen’ itu bertujuan memberi lebih pilihan kepada pelajar, sekali gus memastikan mereka mendapat makanan berkualiti dan berkhasiat.

“Terdapat tujuh warung yang disediakan iaitu stall nasi, stall roti, stall western, stall air, stall kuih muih, stall mee dan stall bubur.

“Turut ditawarkan ialah nasi campur, nasi ayam, chicken chop, spageti, capati, roti canai, ayam penyet, mi kari dan lain-lain. Secara keseluruhan terdapat lebih 50 jenis pilihan makanan serta minuman yang ditawarkan kami,” katanya.

Menurutnya, kepelbagaian menu juga boleh memberi kegembiraan kepada pelajar untuk ke sekolah, tanpa perlu lagi mereka membeli makanan di luar kawasan sekolah.

Selain itu katanya, harga juadah yang disediakan juga mampu milik dan sesuai untuk semua golongan pelajar.

“Persekitaran yang kondusif serta sistem yang baru diimplikasikan kami ini untuk memastikan pelajar mempunyai masa yang secukupnya untuk membeli juadah dan terus bertenaga untuk belajar,” katanya pada majlis penyampaian sijil lantikan pengusaha kantin, baru-baru ini.

Manakala Pengetua SMK Puteri, Saadiah Saad berkata, The Kenduri Canteen dipilih kerana mematuhi kriteria yang ditetapkan termasuk kadar sewa kantin yang kompetitif.

“Muhammad Nur Arham seorang pengusaha yang muda. Biasanya kantin sekolah diusahakan orang veteran. Saya beri peluang kepada anak muda dan saya bangga dapat seorang pengusaha yang bersemangat serta kreatif.

“Beliau kemukakan idea terkini yang sesuai dengan generasi semasa iaitu konsep ‘hipster’ yang merupakan trend moden remaja. Saya berharap beliau dapat menyediakan makanan yang berzat dan menjual dengan harga berpatutan,” katanya.