Pantau Bekalan Air Bersih, Pembetungan Di Pulau Pinang

Pantau Bekalan Air Bersih, Pembetungan Di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 7 NOV. – Tiga daripada sembilan loji air yang beroperasi di Pulau Pinang, di Tanjung Bungah, Air Terjun dan Pulau Tikus terjejas dan mengalami kerosakan teknikal akibat banjir di negeri itu.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), dua daripadanya kembali pulih bermula 6 November.

Loji air di Sungai Pinang pula sedang dalam proses membaik pulih, namun tidak menjejaskan bekalan kerana dibantu loji lain, dan ia dijangka kembali beroperasi seperti biasa menjelang Jumaat ini sekiranya tiada gelombang banjir susulan.
Kenyataan itu berkata Pengerusi SPAN Datuk Liang Teck Meng hari ini meninjau loji air dan pembetungan di sekitar Pulau Pinang berikutan insiden banjir melanda negeri itu sejak 4 November lalu. Taklimat turut diberikan  pegawai Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang.
Liang turut melawat stesen pam kendalian Indah Water Konsortium (IWK) di Lorong Macalister dan dimaklumkan daripada 45 loji kumbahan termasuk stesen pam beroperasi di negeri itu, tiga ditenggelami banjir iaitu dua di Sungai Dua dan satu di Bukit Mertajam.

“Dua puluh tujuh loji di kawasan Perai didapati turut ditenggelami air pada paras air yang rendah manakala 15 mengalami kerosakan disebabkan pokok tumbang – sembilan di kawasan pulau dan enam di kawasan Perai,” kata kenyataan itu.

Dari tiga loji terjejas, satu kembali beroperasi seperti biasa di Sungai Dua dan dua lagi tidak dapat diakses kerana paras air masih tinggi.

“SPAN akan sentiasa memantau keadaan banjir di utara dari semasa ke semasa dalam memastikan bekalan air bersih dan pembetungan yang lancar dapat terus dinikmati rakyat,” kata kenyataan itu. – Bernama