Pasukan Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia N.Sembilan 2018 Diperkenal

Pasukan Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia N.Sembilan 2018 Diperkenal

SEREMBAN, 03 JAN – Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan menyempurnakan Majlis Memperkenalkan Pasukan Bola Sepak Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia Negeri Sembilan bagi musim 2018 di Klana Resort, Seremban, hari ini.

Dalam majlis sama seramai lima pemain import baharu telah diperkenalkan iaitu Nicolas Leandro Velez dari Argentina (tengah) Flavio Beck Junior dari Brazil (tengah), Madu M Mohana dari Singapura (pertahanan), Kim Doheon dari Korea Selatan (tengah) dan Renars Rode dari Letvia (pertahanan).

Dalam pada itu, seramai tujuh pemain tempatan baharu dimasukkan iaitu Muhammad Fakrul Aiman Sidid dari Felda United (penyerang), Mohd Aizulridzwan Razali dari Felda United (tengah), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dari Piala Presiden Kelantan (penjaga gol), Mohd Khairul Izuan Rosli dari Kelantan FA (penyerang), Mohd Fauzan Dzulkifli dari PKNS FC (tengah), Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid dari Selangor (pertahanan) dan Muhammad Syahid Zaidon dari Felda United (tengah).

Selain itu, Thanabalan A/L Nadarajah yang dipinjamkan ke Felcra FC dikembalikan kepada pasukan Negeri Sembilan dan turut bermain di Liga Super 2018.

Seramai 12 pemain Liga Perdana 2017 dikekalkan dan lima pemain Piala Presiden 2017 diserap untuk bermain di pasukan senior.

PBNS juga telah melantik Jorg Peter Steinebrunner dari German sebagai Ketua Jurulatih dan Mohd Asri Ninggal sebagai Penolong Ketua Jurulatih.

Dalam sidang media Menteri Besar berkata, pada tahun ini PBNS membuat perubahan dengan mengurangkan pengambilan pemain penyerang import bagi memberi peluang kepada pemain tempatan untuk bermain di posisi tersebut.

“Kita juga mempunyai beberapa pemain penyerang tempatan dan memberi peluang kepada anak tempatan untuk bermain supaya ia tidak menurunkan mutu atau kualiti penyerang tempatan disebabkan terlampau bergantung pada penyerang yang diimport,” ujarnya mengakhiri.