PEKERTI NS, Kerajaan Negeri Sembilan Agih 36,000 Bingkisan Kuih Raya 

PEKERTI NS, Kerajaan Negeri Sembilan Agih 36,000 Bingkisan Kuih Raya 

SEREMBAN, 09 JUN – Sebanyak 36,000 bingkisan kuih raya diagihkan kepada anggota keselamatan di Negeri Sembilan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Penjara Negeri Sembilan, Jabatan Maritim Negeri Sembilan/Melaka, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Majlis penyampaian telah disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan diiringi Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (PEKERTI NS), YM Raja Datin Seri Dato’ Hajah Salbiah Tengku Nujumudin di Dewan PEKERTI NS, Seremban, hari ini.

Selain itu, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) turut menyumbangkan duit raya kepada anak-anak yatim dan anggota keselamatan.

Antara lain, program yang dianjurkan PEKERTI NS dan Kerajaan Negeri Sembilan ini juga memberikan sumbangan bantuan hari raya kepada 62 ibu tunggal serta 30 anak yatim daripada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan di kalangan ahli-ahli PEKERTI NS sendiri.

Menteri Besar dalam ucapannya menyeru agar Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti PEKERTI NS dan NSWO agar terus mengadakan program bagi memastikan nasib rakyat dibela di samping membantu jabatan dan agensi kerajaan.

“Di Negeri Sembilan ini, Jabatan-Jabatan Kerajaan dan agensi-agensi sentiasa ada agenda-agenda untuk terus membela rakyat dan orang-orang yang perlu mendapat bantuan dan ia dibantu oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti PEKERTI, NSWO yang sentiasa sahaja ada program-program dekati rakyat, program yang sentiasa membela rakyat.

“Ini yang saya selalu sebutkan supaya NGO-NGO seperti NSWO dan PEKERTI untuk bersama kerajaan dalam menjayakan dasar-dasar yang telah kita buat dan jika kita dapat hayatinya dengan sebaik mungkin maka saya yakin bahawa rakyat di negeri ini akan sentiasa mendapat pembelaan,” katanya.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Dr Haji Awaludin Said; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Seri Haji Mat Ali Hassan; Panglima 1 Briged, Brigedier Jeneral Dato’ Mohd Sofi Md Lepi; Timbalan Ketua Polis Negeri, SAC Dato’ Muhamad Zaki Harun dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zainudin Mohd Ali.