Pelumba muda negara serlah potensi besar

Pelumba muda negara serlah potensi besar

Kuala Lumpur: Perlumbaan pusingan empat Kejuaraan Formula 4 Asia Tenggara (F4 SEA) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) minggu lalu berterusan menonjolkan bakat terpendam yang dimiliki pelumba muda negara.

Sepanjang enam pusingan perlumbaan, pelumba negara diketuai Mitchell Cheah, 19, mencatat keputusan membanggakan apabila meraih 18 kedudukan di 10 kelompok teratas sekali gus membuktikan masa depan yang cerah bagi arena perlumbaan empat roda negara.

Mitchell paling cemerlang apabila memenangi satu perlumbaan dan menamatkan satu lagi pusingan di tangga ketiga sebelum dinobat sebagai juara keseluruhan pusingan keempat.

Pelumba lain yang turut menyinar di Sepang adalah Adam Khalid, 19, Muizz Musyaffa, 15, dan anak bekas pemandu Formula Satu, Alex Yoong iaitu Alister Yoong, 15.

“Ia minggu yang menggalakkan bagi pelumba Malaysia. Saya fikir prestasi mereka adalah pembuka mata bagi industri perlumbaan di Malaysia.

“Mereka jelas mempunyai kemampuan serta kepakaran dan dengan sokongan yang betul, mereka akan mampu melangkah lebih jauh,” kata pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif F4 SEA, Peter Thompson.

Ketika Mitchell meraih enam kedudukan 10 teratas, Adam meraih empat kedudukan 10 teratas termasuk di tangga keempat perlumbaan satu manakala Muizz yang juga bekas juara go-kart dunia membuktikan dia antara pelumba paling berbakat apabila menamatkan saingan di enam kelompok 10 terbaik.

Disenarai antara pelumba termuda di grid perlumbaan F4 SEA, Alister pantas menyesuaikan diri dan selepas dua perlumbaan, dia meraih tempat keempat pada perlumbaan tiga dan menamatkan perlumbaan empat di kedudukan sembilan serta dinobat pelumba baru terbaik pusingan itu.

“Perlumbaan yang berlangsung semuanya amat kompetitif dan membuatkan perlumbaan F4 amat mengujakan bagi saya,” kata Mitchell yang turut menjuarai perlumbaan Siri Kejuaraan Malaysia (MCS), tahun lalu.

Perlumbaan pusingan kelima dan terakhir F4 SEA berlangsung April depan juga di Sepang.

Sumber-Harian Metro