Pembahagian kerusi jelas untungkan DAP

Pembahagian kerusi jelas untungkan DAP

IPOH – Pembahagian kerusi yang dibuat oleh pembangkang berkemungkinan sekadar untuk menguji respons rakyat, namun yang paling ketara, agihan itu jelas menguntungkan DAP.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berpendapat, biarpun hanya 35 kerusi Parlimen diberikan kepada DAP di Semenanjung Malaysia, sebahagian besarnya merupakan kubu kuat atau kawasan yang sedang dipegang oleh parti itu.

Zambry berkata, jumlah itu tidak termasuk di Sabah dan Sarawak, justeru beliau menjangka DAP mempunyai kebarangkalian besar untuk memenangi­nya sekali gus bakal memperoleh manfaat besar dalam pilihan raya umum akan datang.

“Di Perak sendiri, saya melihat pembahagian kerusi adalah se­perti yang kita jangka. Tiada perkara yang terlalu luar biasa. Setakat ini, yang kita lihat dari segi agihan kerusi, untuk DAP adalah kekal. Kawasan DAP ini tidak boleh disentuh.

“Saya tidak melihat kawasan yang ditandingi oleh DAP diberikan kepada rakan-rakannya. Jika ia berlaku, itu luar biasa dan itulah cerdiknya DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Pada Konvensyen Pakatan Harapan 2018 Ahad lalu, PAN diumumkan memperoleh agihan kerusi paling sedikit iaitu 27 kerusi berbanding DAP (35), PKR (51) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (52).

Dalam perkembangan ber­kaitan, Zambry berkata, ‘persefahaman’ pembangkang yang ingin membentuk kerajaan dengan menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri, merupakan satu lagi drama besar yang cuba dibangkitkan apabila musuh nombor satu mereka dahulu diangkat semula bagi menjatuhkan Barisan Nasional (BN).

“Saya pun agak hairan dan tertanya-tanya juga kerana kalau dahulu dalam gerakan reformasi pertama, seluruh parti-parti pembangkang boleh duduk bersama-sama dengan satu matlamat iaitu menjatuhkan Dr. Mahathir.

“Namun, ironinya pada hari ini, kita melihat satu gerakan besar dan barangkali boleh dikatakan seperti Reformasi 2.0, dilancarkan untuk menaikkan semula Dr. Mahathir. Segala macam kebencian termasuk bahasa terlalu pedih dan hina seperti Maha Firauan yang mereka gunakan, ditelan balik semuanya,” kata beliau.