Pembangkang jangan tipu rakyat soal cukai – Najib

Pembangkang jangan tipu rakyat soal cukai – Najib

KUALA LUMPUR – Pembangkang dinasihatkan untuk ikhlas berkaitan soal cukai dan tidak menipu rakyat kononnya GST akan dihapuskan, tetapi dalam masa sama akan mengembalikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang sudah lapuk.

“Mansuhkan sahaja cukai barang dan nyatakan di mana mereka (pembangkang) mahu menampung kekurangan hasil minyak sebanyak RM40 bilion setahun. Usahlah perdayakan rakyat,” kata Datuk Seri Najib Razak dalam catatan terkini blognya hari ini.

Perdana Menteri menjelaskan SST yang mahu diguna pakai Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai masalah percukaian bertindih dan juga perhitungan berganda dalam pengiraan nilai produk serta mempunyai masalah ketirisan akibat manipulasi pemborong dan penjual.

Beliau berkata pengenalan sistem SST bukan sahaja terkebelakang, malah akan membebankan rakyat secara tersembunyi.

Malah kata Najib, Dr Mahathir sendiri sedar akan perkara itu dan pernah mengakui GST lebih baik daripada SST kerana pentadbiran beliau sendiri yang mengesyorkan untuk menaik taraf cukai kepada sistem GST.

“Akhirnya Dr Mahathir bersetuju dengan kerajaan bahawa GST menampung kekurangan hasil minyak sebanyak RM40 bilion.

“Namun kerana beliau keterlanjuran kata menjanjikan pemansuhan GST, beliau sekarang ini mahu menggantikan GST dengan SST, sebuah sistem lapuk dan tersembunyi yang ditamatkan 160 negara di dunia. Sekali lagi Tun melakukan u-turn (pusingan U),” jelasnya.

Beliau berkata Dr Mahathir ingin menampakkan seolah-olah pembangkang akan menghapuskan GST tetapi sebaliknya akan menggantikan dengan SST dengan kadarnya tidak dimaklumkan kepada pembeli bagi mengemis undi.

“Bukankah ini satu pembohongan? Di bawah sistem SST adalah tidak perlu untuk penjual maklum jumlah cukai dalam resit.

“Jadi mereka boleh mengenakan cukai pada kadar yang tidak boleh dikawal penguat kuasa, dan rakyat juga tidak sedar mereka masih dicukai walaupun diberitahu GST dimansuhkan.

“Tidak dengan GST di mana penjual perlu secara telus menyatakan jumlah kadarnya yakni 6%,” jelasnya.

Najib menegaskan dari segi perbandingan sistem, GST adalah sistem yang moden dan lebih sistematik daripada SST.

Katanya, GST diperkenalkan kerana ia lebih moden, telus dan mempunyai perundangan yang lengkap bagi mengelakkan penipuan dan diguna pakai oleh 160 negara di dunia, selain mempunyai cara perhitungan dan piawaian yang konsisten dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Untuk rekod, cukai GST mula diperkenalkan kerajaan pada April 2015.