Pemerkasaan Institusi Masjid Mampu Tangani Perpecahan Masyarakat

Pemerkasaan Institusi Masjid Mampu Tangani Perpecahan Masyarakat

SEREMBAN, 07 OKT – Pemerkasaan institusi masjid dengan menjadikannya sebagai medium untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti akan mampu menangani perpecahan yang berlaku di kalangan masyarakat.

Demikian dinyatakan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan ketika ditemui media selepas merasmikan Bangunan Surau Al-Kausar Kampung Baru Blok B & C, Ampangan, Seremban.

Mengulas lanjut, usaha yang dilakukan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam memperbanyakkan institusi masjid adalah supaya masyarakat Islam kembali memainkan peranan bukan sahaja bagi melaksanakan ibadah khusus tetapi menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Selain itu, usaha menaik taraf surau dijadikan sebagai masjid juga suatu langkah pemerkasaan institusi ini bagi memudahkan dan mengalakkan orang ramai datang ke masjid.

Kata Menteri Besar lagi, pada ketika ini dalam senarai terdapat 11 buah surau yang telah dikenal pasti untuk dinaik taraf menjadi masjid.

Manakala terdapat 16 buah masjid yang baharu siap, sedang dibina dan akan dibina di Negeri Sembilan pada ketika ini.

Dalam masa sama akan lebih banyak masjid satelit yang bersaiz sederhana bakal dibina.