Pemimpin MIC Diminta Perjelas Kepada Masyarakat Semua Pelaksanaan Kerajaan

Pemimpin MIC Diminta Perjelas Kepada Masyarakat Semua Pelaksanaan Kerajaan

SEREMBAN, 13 NOV – Menteri Besar menyeru agar pemimpin MIC Negeri Sembilan di semua peringkat menjalankan tugas utama mereka iaitu memberikan penerangan dengan menyampaikan maklumat kepada masyarakat India mengenai apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.

Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Deepavali bersama Pemimpin MIC Negeri Sembilan di Dewan Besar Majlis Perbandaran Seremban (MPS), malam tadi.

“Sebagai pemimpin sudah menjadi tanggungjawab dan tugas utama untuk menerangkan kepada masyarakat terutamanya kaum India mengenai hal ini.

“MIC adalah parti yang berasaskan kepada perjuangan matlamat yang satu, suara yang satu untuk mempertingkatkan serta memperjuangkan dan terus membela martabat kaum India di negara ini,” katanya.

Beliau juga turut menasihatkan agar segala maklumat yang diperoleh disebarkan di media sosial supaya lebih ramai anak muda dapat menerima maklumat tersebut dengan mudah.

Kira-kira 1,000 tetamu hadir bagi memeriahkan majlis ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan Malaysia merangkap Presiden MIC Kebangsaan, Dato’ Seri Dr S. Subramaniam dan Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Kampung Baru merangkap Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Dato’ Manickam a/l Letchuman.