Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Sayap UMNO Bahagian Rembau

Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Sayap UMNO Bahagian Rembau

REMBAU, 13 OGOS – Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan telah merasmikan secara serentak Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau Tahun 2017 di Dewan Sri Rembau.

Beliau hadir bersama isteri, YM Raja Datin Seri Dato’ Hajah Salbiah Tengku Nujumudin.

Ketika bercakap di sidang media Menteri Besar menggesa agar jentera parti bergerak untuk membantu menjaga parti dan kerajaan.

Menurutnya, jentera parti adalah golongan yang paling hampir dengan akar umbi dan masyarakat di samping menjadi pengantara di antara kerajaan dan rakyat.

Jelasnya, jika jentera parti tidak dapat menjaga parti dan kerajaan ia akan mewujudkan ketempangan dan kecacatan dalam pentadbiran.

“Jentera parti ini mesti kuat. Kalau hendak masuk pilihan raya dan kita hendak mengadakan pilihan raya pastikan supaya jentera parti ini sudah bergerak dan berada dalam keadaan sebaik mungkin,” katanya.

Tambahnya lagi, jika kerajaan dan jentera parti tidak ada bersama masyarakat, ia akan mengundang unsur-unsur fitnah dan mengalihkan perhatian orang ramai terutamanya pengundi.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri merangkap ADUN Kota, Dato’ Dr Haji Awaludin Said; Menteri Belia dan Sukan merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan ADUN Paroi, Tuan Haji Mohd Ghazali Abd Wahid.