Perdana Menteri Lancar 7 Konsep Reka Bentuk Stesen HSR Kuala Lumpur-Singapura

Perdana Menteri Lancar 7 Konsep Reka Bentuk Stesen HSR Kuala Lumpur-Singapura

KUALA LUMPUR, 17 OKT – Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak melancarkan tujuh Konsep Reka Bentuk Stesen Kereta Api Berkelajuan Tinggi  (HSR) Kuala Lumpur-Singapura bertempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan turut hadir bagi menyaksikan peristiwa penting dan bersejarah apabila reka bentuk dan rupa stesen-stesen dalam jajaran Kuala Lumpur-Singapura dilancarkan.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara dan Pengerusi MyHSR Corporation, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; Menteri Pengangkutan Malaysia, Dato’ Sri Liow Tiong Lai dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Abdul Rahman Dahlan.

Dalam majlis ‘MyStations-Transforming Malaysia’ ini, MyHSR Corporation memperkenalkan reka bentuk konsep seni bina untuk semua tujuh stesen Kuala Lumpur-Singapura di Malaysia termasuk Bandar Malaysia, Bangi-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.

Reka bentuk setiap stesen dikonseptualisasikan untuk mencerminkan bukan sahaja pelbagai warisan, budaya dan identiti setiap bandar di sepanjang koridor HSR tetapi juga menunjukkan wawasan pertumbuhan yang akan dicapai menerusi projek ini.

Salah satu reka bentuk yang diperkenalkan ialah stesen Seremban yang diilhamkan daripada kemegahan Istana Diraja Seri Menanti dan kehijauan tropika yang rimbun dalam Malaysia Vision Valley (MVV).

Menurut Perdana Menteri, majlis ini menjadi penanda aras penting dalam perjalanan membina satu lagi mercu tanda dan projek ikonik yang bakal memberi impak besar kepada ekonomi tanah air dan kesejahteraan rakyat.

Jelasnya lagi, Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah memperlihatkan sebanyak 2.26 juta peluang pekerjaan yang dicipta di negara ini sejak enam tahun lalu, di samping mengekalkan inflasi yang rendah pengangguran walaupun keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Projek HSR Kuala Lumpur-Singapura  yang akan memulakan operasi pada 2026 dijangka akan memangkin pertumbuhan sosio ekonomi kedua-dua negara di samping mewujudkan peluang pelaburan dan pekerjaan yang lebih banyak bagi rakyat.

Terdahulu, pada 13 Disember 2016 Malaysia-Singapura telah menandatangani perjanjian dua hala mengenai projek ini di Putrajaya.

HSR Kuala Lumpur-Singapura adalah projek strategik antara kerajaan Malaysia dan Singapura yang bertujuan untuk memendekkan masa perjalanan 90 minit antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Projek ini dijangka dapat meningkatkan jaringan perniagaan dan mendekatkan hubungan antara kedua-dua negara.

Oleh TeamN9KINI   Foto LEONG/SHAHFARED