Perdana Menteri Rasmi UTC Negeri Sembilan

Perdana Menteri Rasmi UTC Negeri Sembilan

SEREMBAN,  30 NOV – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Negeri Sembilan di Ampangan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan turut hadir mengiringi Perdana Menteri.

Dalam ucapan perasmian, Perdana Menteri berkata pembinaan UTC telah mengambil kira tiga kriteria utama iaitu pembinaan dengan kos yang minimum, memberikan impak maksimum dan penyelesaian dalam tempoh yang singkat.

Jelasnya, projek UTC negeri di bangunan UDA Holdings Berhad (UDA) ini hanya melibatkan kos sebanyak RM34.26 juta kerana ia tidak memerlukan pembinaan bangunan baharu yang membolehkan kerajaan jimat lebih daripada RM100 juta.

Setakat Oktober tahun ini, UTC telah mencatatkan sejumlah 54 juta pelawat di seluruh negara yang mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang disediakan di pusat itu sejak 2012.

Sambutan yang menggembirakan ini cukup menunjukkan bahawa perkhidmatan yang diperkenalkan di bawah Program Transformasi Kerajaan telah terbukti berjaya.

“Tidak ada negara di dunia yang mempunyai kemudahan seperti UTC Malaysia, yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kerajaan dan swasta di bawah satu bumbung, beroperasi tujuh hari seminggu hingga 10 malam, ” ujarnya.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri juga mengumumkan bahawa kerajaan pusat telah meluluskan pembinaan projek jambatan pejalan kaki di UTC serta dewan awam di Ampangan.

UTC ini telah memulakan operasi pada 20 November lalu dengan menempatkan sebanyak 18 agensi kerajaan dan swasta seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Antara lain, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Lembaga Tabung Haji, Majlis Amanah Rakyat, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Kementerian Belia dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd.

Kewujudan UTC yang  terletak di Jalan Seremban-Kuala Pilah ini menjadikan ia yang pertama di Negeri Sembilan dan ke-20 di negara ini.