Perkasakan Gerak Kerja Sistematik Untuk Menang PRU-14

Perkasakan Gerak Kerja Sistematik Untuk Menang PRU-14

RANTAU, 10 OKT – Usaha yang bersistematik dan tersusun mengikut cara yang telah ditetapkan dalam perjuangan UMNO menjadi tunjang utama bagi meraih kemenangan majoriti di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Berikut dinyatakan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dalam Program Kembara Ibu Terbaik Bangsa PRU-14 (KITA-14) UMNO Bahagian Rembau bersama Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil di Dewan Orang Ramai Rantau.

Beliau hadir bersama isteri, YM Raja Datin Seri Dato’ Hajah Salbiah Tengku Nujumudin.

KITA-14 dilaksanakan bagi menjalankan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil untuk memastikan tugas-tugas yang dijalankan oleh Wanita UMNO menjadi lebih baik, bersistem dan berdisiplin, selain memberikan sokongan padu kepada jentera wanita untuk menghadapi persiapan menjelang PRU-14.

Menurut Menteri Besar, kerja yang dirancang dengan baik dan tersusun akan memberikan hasil dan keputusan yang terbaik.

Situasi ini jelas terbukti apabila majoriti Parlimen Rembau pada tahun 2008 meningkat dengan cemerlang sekali pada PRU-13, di mana wanita adalah sebahagian jentera yang bekerja kuat bagi memastikan UMNO lebih terbilang.

Tambah beliau lagi, jentera Jalinan Rakyat (JR) Wanita perlulah fokus dan mengambil berat terhadap 30 anak buah di bawah jagaannya.

Antara lain, jalinan hubungan dan kerjasama yang baik sebagai satu pasukan dapat membantu untuk memastikan kelancaran tugas menjelang PRU-14 nanti.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Rembau, Dato’ Dr Haji Awaludin Said; Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri Sembilan, Dato’ Norhayati Omar serta Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri Sembilan merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Rembau, Puan Hajah Siti Harpah Mat Dom.