Pemilik Castella Cafe, Mohd. Isa Mohammed Ramli, 43, restoran diusahakannya memperkenalkan konsep berkelah sambil makan di atas kerusi dan meja yang disediakan.

“Castella Cafe ini berkonsepkan berkelah di sungai, iaitu makan atas meja yang disediakan di sungai ataupun di pondok buluh yang dibuat khas.

“Biasanya, pengunjung lebih berminat makan di meja kayu yang diletakkan di sungai sambil merendamkan kaki di dalam air yang jernih dan sejuk,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, dia gembira kerana konsep yang diperkenalkan itu semakin mendapat sambutan ramai dan jumlah keha­diran pe­langgan meningkat terutama pa­da musim cuti sekolah dan hujung minggu.

Begitupun, katanya, dia berdepan cabaran terutama apabila setiap kali hujan lebat dan paras air sungai naik.

Malah katanya, ada kala kerusi dan meja yang disediakan untuk pengu­n­jung menikmati juadah turut dihanyutkan arus deras.

Bagi mengelakkan kerugian katanya, kerusi-kerusi itu terpaksa diikat kemas dengan tali dan ditambat pada batang-batang pokok berdekatan su­ngai.

“Untuk mengurangkan kos menyediakan kerusi meja itu, saya menggunakan buluh-buluh yang kosnya lebih murah yang boleh didapati sekitar kawasan kampungan dan sentiasa membaikinya sekiranya terdapat kerosakan,” katanya.

Selain menikmati juadah, pengunjung juga dapat merasai permainan rakit yang disediakan dan juga kanak-kanak boleh bermain air dengan menggunakan pelampung.

Keselamatan pengunjung juga terjamin kerana beberapa orang pembantunya turut berada di sekitar sungai untuk memantau keadaan dan menjaga keselamatan mereka.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Mohd. Syuhairil Ramli, 39, dari Felda Bersia, berkata, konsep santai, suasana tenang, bunyi air mengalir membuatkannya tidak jemu-jemu untuk datang berulang kali ke Castella Cafe.

“Sebulan sekali saya mesti sampai ke sini bersama rakan-rakan sekerja menikmati juadah sambil kaki bermain air dan ditemani nyanyian unggas-unggas rimba.

“Sekiranya rakan-rakan yang jauh datang, pasti saya menbawa mereka ke tempat ini dan menikmati suasana alam yang damai dan menikmati makanan yang tiada di tempat lain,” katanya.

Rakannya, Shahrul Nizam Kamaruddin, 31, dari Kluang, Johor pula berkata, pertama kali mengunjungi Castella Cafe, dia sudah jatuh cinta.

“Selalunya apabila berkelah, kita biasa menikmati juadah di tepi su­ngai, tetapi di sini, kita menikmatinya di dalam sungai dan ia amat menarik dan mengujakan.

“Sebelum makan, kita boleh mandi manda sepuas-puasnya dengan air sungai yang jernih, bersih dan sejuk, boleh juga bermain pelampung ataupun berakit,” katanya. – Utusan