Peruntukan RM500j Bina Lebuhraya Taman Semarak-LBJ

Peruntukan RM500j Bina Lebuhraya Taman Semarak-LBJ

NILAI, 11 FEB – Sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi membina lebuh raya daripada Taman Semarak sehingga LBJ.

Demikian dinyatakan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan ketika berucap merasmikan Kelab Komuniti Kami Penduduk Nilai di Tapak Pasar Malam Taman Semarak, Nilai.

Mengulas lanjut katanya, pembinaan lebuh raya tersebut akan bermula selepas berakhirnya sambutan Tahun Baru Cina.

“Ini adalah jalan empat lorong lebuh raya baharu daripada sini (Taman Semarak) sampai depan Kilang Kelloggs, LBJ dan bertemu nanti dengan jalan yang sedang dibina daripada Seremban ke Sendayan sehingga Kualiti Alam,” ujarnya.

Jelasnya lagi, kerajaan turut membina lebuh raya baharu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hingga ke Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS). Pada masa sama, laluan dari Jalan Seremban-Kuala Pilah hingga ke Serting akan dinaiktaraf.

Dalam pada itu, Menteri Besar mengumumkan pasar malam Taman Semarak akan dinaik taraf untuk diseragamkan dan juga sebanyak 800 buah gerai akan ditambah.

Dalam majlis ini, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga asnaf serta beramah mesra dengan penduduk Nilai dan sekitarnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Dato’ Chong Sin Woon; Exco Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan merangkap ADUN Ampangan, Dato’ Haji Abu Ubaidah Dato’ Haji Redza dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban dan Nilai, Dato’ Haji Abdul Halim Abdul Latif.