Peserta Rancangan Tanaman Baru Berkelompok RISDA Terima Dividen RM2.33j

Peserta Rancangan Tanaman Baru Berkelompok RISDA Terima Dividen RM2.33j

SEREMBAN, 12 JUN – Peserta Rancangan Tanaman Baru Berkelompok (RTBB) RISDA Peringkat Negeri Sembilan menerima dividen sebanyak RM2.33 juta bagi tahun 2016, hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan menyempurnakan penyerahan cek dividen bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, Kolej MARA Seremban.

Dividen ini diberikan kepada 1,010 peserta yang mengusahakan tanah seluas 2,907 ekar.

Daripada jumlah ini, purata keuntungan yang dibayar kepada setiap peserta adalah sebanyak RM800 per ekar.

Turut diadakan juga penyampaian sumbangan tanggungjawab sosial (CSR) oleh anak-anak Syarikat RISDA Negeri Sembilan kepada anak-anak yatim dari seluruh daerah dalam Negeri Sembilan.

Menteri Besar dalam sidang media yang diadakan selepas penyampaian cek dividen menyeru kepada pemilik tanah terbiar di negeri ini supaya membenarkan tanah mereka diusahakan oleh agensi kerajaan.

Menurutnya, terdapat 12 ribu hektar tanah terbiar di Negeri Sembilan kebanyakannya terdiri daripada tanah adat, tanah pusaka, tanah mempunyai penama yang ramai serta tidak mempunyai pemilik.

Justeru itu, Kerajaan Negeri bercadang agar semua tanah terbiar diusahakan supaya dapat mengurangkan tanah terbiar di negeri ini.

Dalam pada itu, Menteri Besar menyarankan agar agensi kerajaan atau koperasi tidak menanam kelapa sawit di tanah bekas sawah bagi mengelakkan sumber air berkurangan dan tanah menjadi kering.

“Tanah terbiar ada dua jenis, satu tanah ladang atau kebun dan kedua tanah terbiar bekas sawah. Tanah bekas sawah ini jika hendak diusahakan jangan tanam kelapa sawit kerana tanaman kelapa sawit ini akan menyebabkan tanah menjadi kering.

“Saya cadangkan supaya ditanam dengan tanaman selain kelapa sawit seperti nanas atau tebu,” ujarnya lagi.