PKNP, Negeri Sembilan ke Liga Super 2018

PKNP, Negeri Sembilan ke Liga Super 2018

PEMGUMUMAN Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang mengesahkan Negeri Sembilan mengisi slot ke Liga Super 2018 nyata menggembirakan puluhan ribu penyokong setia Hoben Jang Hoben.

Timbalan Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9Futbol.com), Mohamad Faidzul Mohd Noh berkata, ini satu berita yang amat baik kerana skuad Negeri Sembilan kembali ke kancah elit bola sepak negara.

“Bagi saya ini bukan satu laluan pintu belakang tetapi ia adalah kelayakan secara merit kerana kami memenuhi syarat asas untuk ke Liga Super 2018 berbanding pasukan lain.

“Kami rasa kami layak berada di situ walaupun dari segi prestasi kami tidak konsisten.

“Tahniah dan terima kasih kepada FMLLP yang bertegas dalam hal perlesenan demi mentransformasikan bolasepak negara ke arah yang lebih gemilang,” katanya.

Mohamad Faidzul berkata, mungkin perubahan drastik ini sukar diterima sebilangan peminat namun hasilnya yang positif boleh dilihat pada tahun tahun akan datang.

“Disinilah pentingnya hal perlesenan ini dalam mempertingkatkan mutu bolasepak negara. Sememangnya Negeri Sembilan telah bersedia dan syabas kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) yang memperoleh lesen layak bertanding ke Liga Super,” katanya.

Selain Negeri Sembilan, PKNP FC juga dinaikkan pangkat beraksi di kancah elit liga tempatan musim depan.

FMLLP mengesahkan perkara tersebut selepas Felda United gagal mendapatkan lesen Liga Super dan Terengganu diturunkan selepas penstrukturan semula pasukan negeri.

Untuk menggantikan kedua-dua pasukan tersebut, PKNP FC dan Negeri Sembilan dinaikkan pangkat ke Liga Super 2018.