Plan Transformasi PBT Diperkenal

Plan Transformasi PBT Diperkenal

KUALA LUMPUR, 08 DIS – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memperkenalkan Pelan Transformasi Pihak Berkuasa Tempatan menjelang akhir bulan ini bagi meningkatkan lagi standard dan kualiti perkhidmatan pihak berkuasa tempatan di negara ini.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata pelan itu akan mengandungi enam prinsip iaitu pemerkasaan modal insan, penyampaian perkhidmatan cemerlang, pengukuhan kemampuan kewangan, kesejahteraan rakyat, penyertaan masyarakat dan komunikasi berkesan.

Kata beliau, oleh kerana pihak berkuasa tempatan memainkan peranan penting dalam mengurus bandar raya dan kawasan  bandar, maka orang ramai meletakkan harapan tinggi di bahunya.

“Di samping pelan transformasi, bagi memastikan mereka (pihak berkuasa tempatan) menyampaikan perkhidmatan seperti yang ditetapkan, kementerian saya juga melaksanakan Sistem Penarafan Bintang  bagi Pihak Berkuasa Tempatan.

“Penarafan ini membuat penilaian tentang kualiti perkhidmatan bandar yang disampaikan pihak berkuasa tempatan setiap dua tahun dan mereka perlu mencapai sekurang-kurangnya penarafan  empat bintang,” kata Noh semasa Sesi Rundingan Meja Bulat Menteri pada Forum Bandar Sedunia ke-9 di sini hari ini.

Pada 2016, Majlis Kebangsaan bagi Kerajaan Tempatan (yang tugasnya mengikut Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan adalah untuk menggubal suatu dasar negara bagi membangunkan, memajukan dan mengawal  kerajaan tempatan di negara ini), telah meluluskan Pelan Transformasi Pihak Berkuasa Tempatan.

Dalam ucapannya, Noh berkata terdapat keperluan untuk menangani isu pemulihan dan pembangunan semula bandar bagi menambah baak kualiti kehidupan penduduk bandar.

“Kementerian saya berusaha untuk menubuhkan Perbadanan Pengurusan Awam Kebangsaan bagi tujuan mengurus dan memelihara kualiti perumahan rakyat, di samping meningkatkan kualiti kehidupan penduduk B40,” katanya.

Noh juga menyatakan bahawa Malaysia akan terus meningkatkan  kerjasama dengan semua negara anggota dan UN Habitat dalam usaha memajukan bandar raya yang sejahtera untuk didiami.

WUF 9, yang bermula semalam dan berakhir pada 13 Feb, diadakan bagi kali kedua di Asia, membariskan lebih 500 acara, termasuk perhimpunan, rundingan meja bulat peringkat tinggi, dialog dan sesi khas.

Bertemakan ‘Bandar Raya 2030, Bandar Raya Untuk Semua: Melaksanakan Agenda Baharu Bandar (NUA)’, forum dihoskan Kuala Lumpur itu akan memberi fokus terhadap pelaksanaan NUA. – Bernama