PM Lancar Jentera Pilihan Raya BN Negeri Sembilan PRU 14

PM Lancar Jentera Pilihan Raya BN Negeri Sembilan PRU 14

SEREMBAN, 30 NOV – Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Dato’ Seri Najib Tun Razak melancarkan Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan Pilihan Raya Umum (PRU) 14 di Klana Resort, Seremban, hari ini.

Kehadiran beliau diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi BN Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan.

Dalam ucapannya Perdana Menteri menyeru agar kesemua ahli BN mempunyai sikap yang mesra di antara satu sama lain.

“Hari ni saya minta supaya kita mesra sesama kita. Maknanya sebagai sebuah keluarga BN yang mesti mesra di antara satu sama lain,” ujarnya.

Antara lain beliau juga menyebut mengenai pembahagian kerusi yang keputusannya diserahkan kepada pimpinan parti. Justeru itu, keputusan yang dibuat itu juga perlu diterima demi kepentingan parti.

Dalam pada itu, Menteri Besar menasihatkan agar pemimpin di semua peringkat melupakan perkara yang boleh ‘menyangkutkan kaki’ bila masuk ke medan pilihan raya.

“Biar kita berlapang dada dalam menghadapi pilihan raya. Lupakan perkara yang remeh temeh, pandang pada perkara yang lebih besar,” ujarnya.

Selain itu, beliau juga menyarankan ahli BN agar melakukan persediaan lebih awal dalam menghadapi pilihan raya supaya mental dan fizikal sudah berada dalam keadaan yang bersiap bersedia.