Program Ziarah Kasih GPPKT

Program Ziarah Kasih GPPKT

SEREMBAN, 28 JUN – Gabungan Persatuan Penduduk Kawasan Temiang (GPPKT) mendekati penduduk dikawasan terbabit dengan menyalurkan sumbangan keperluan harian dalam meringankan beban mereka menyambut Aidilfitri semasa program Ziarah Kasih di sini, baru-baru ini.

Dalam program itu, 50 penduduk yang terdiri daripada keluarga asnaf, ibu tunggal, warga emas dan orang kelainan upaya terpilih menerima sumbangan termasuk duit raya.

Pengerusinya, Titan Ho Kok Yew berkata, sumbangan itu merupakan antara tanggungjawab sosial (CSR) pihaknya dalam membantu meringan beban penduduk yang terpilih.

Katanya, di kawasan itu terdapat tiga kampung dan 11 taman perumahan.

“Peserta yang menerima bantuan ini dipilih ketua kampung dan pengerusi taman di kawasan masing-masing sebelum menyalurkan butiran mereka kepada persatuan.

“Dengan itu, kita menyampaikan bantuan ini seperti beras, gula, minyak masak dan pelbagai lagi.

“Bagi penerima yang terlantar pula pihak kami ke rumah mereka untuk menyampaikan bantuan berkenaan,” katanya ketika ditemui semasa program berkenaan.

Bantuan terbabit disampaikan Pemangku Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Negeri  Superintendan Mohd Zawawi Abdullah.

Titan berkata, persatuannya sentiasa prihatin dengan mendekati penduduk yang kurang bernasib baik.

Katanya, setiap bantuan itu akan fokus kepada setiap perayaan utama yang disambut di negara ini.