Provokasi Pembangkang Boleh Jejaskan Saham FGV

Provokasi Pembangkang Boleh Jejaskan Saham FGV

KUALA LUMPUR, 08 JUN – Harga saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) boleh merudum mendadak sekiranya pemimpin pembangkang berterusan menimbulkan provokasi berhubung perkembangan semasa pengurusannya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, provokasi terburu-buru tanpa memberi masa dan ruang kepada pihak berkuasa menyiasat perkara sebenar hanya akan menjejaskan entiti peneroka Felda itu.

“Pihak pembangkang jangan bermain sebarang bentuk provokasi dan tidak wajar kerana ianya boleh merencatkan terutama sekali saham FGV dan boleh memecahbelahkan integriti korporat badan itu.

“Sebagai rakyat bertanggungjawab, kita berikan ruang dan peluang tanpa membuat sebarang kenyataan terlebih dahulu kepada panel yang telah dilantik oleh kerajaan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa di Wisma Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Meranti di sini kelmarin.

Beliau mengulas pelantikan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pemandu Associates Sdn Bhd, Datuk Seri Idris Jala sebagai panel bebas untuk membantu mengatasi kemelut FGV.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, Idris dilantik sebagai pihak tidak berkepentingan untuk mengemukakan bukti siasatan kes dan menyarankan penyelesaian krisisi terkini FGV.

Ia berhubung keputusan FGV mengarahkan Presiden Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dan dua pengarah kanannya bercuti, berkuatkuasa serta-merta, semalam.

Mengulas lanjut, Irmohizam juga berkata, pelantikan Idris itu dijangka dapat menangkis tohmahan pemimpin pembangkang menuding jari kepada kerajaan berhubung krisis terkini pengurusan FGV.

“Pihak pembangkang hanya tahu menimbulkan provokasi dan memainkan emosi rakyat. Saya berharap janganlah kita membuat sebarang bentuk provokasi, kena tunggu hasil (siasatan) daripada Datuk Seri Idris Jala.

“Kita memberikan sepenuh kepercayaan kepada beliau yang telah dilantik oleh kerajaan untuk meneliti setiap perkara yang telah dinyatakan oleh kedua-dua individu terbabit (Zakaria & Isa),” katanya lagi.