PRU-14: IPF Diharap Terus Berjuang Jamin Kemenangan BN

PRU-14: IPF Diharap Terus Berjuang Jamin Kemenangan BN

SERDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berharap Parti Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF) akan terus berjuang bagi menjamin kemenangan besar untuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Kata beliau walaupun IPF masih belum diterima menganggotai komponen parti BN, beliau percaya semangat kesetiaan dan perjuangan itu terus dicurahkan kepada BN.

“Walaupun IPF tidak lagi atau belum diterima menjadi ahli komponen BN tetapi ini tidak bererti bahawa IPF tidak boleh memberi kerjasama kepada BN dan memperjuangkan masalah dalam kalangan masyarakat India.

“Saya berharap dan ingin mengesyorkan supaya kepimpinan IPF tampil ke hadapan untuk membawa masalah dan isu yang berkaitan dengan apa jua dihadapi masyarakat India di Malaysia untuk dipertimbangkan dan diselesaikan kerajaan.

“Sebagai sebuah kerajaan kita sentiasa amalkan dasar adil dan inklusif atau keterangkuman meliputi semua golongan masyarakat di negara kita,” katanya semasa berucap merasmikan Penutupan Perhimpunan Agung IPF ke-25 di hadapan 3,000 perwakilan parti itu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (UPM) Serdang petang tadi.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung BN dan UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib yang juga Pengerusi BN sedar kaum India memerlukan perhatian kerana berdepan dengan cabaran yang khusus melibatkan masalah strukutur, transisi kependudukan dan penempatan semula dengan pembangunan negara.

Jelas beliau, tanpa perhatian dan intervensi khusus kerajaan masyarakat India akan menghadapi kesukaran untuk melakukan transisi dari estet kepada masyarakat boleh berjaya di tengah kota raya dan bandar.

“Sebab itulah saya telah melancarkan blueprint pada 23 April lalu, kerana saya ingin melihat masyarakat India di sini menyedari bahawa kita bukan sahaja bercakap atau janji sesuatu sebagai sebutan sahaja.

“Kita bukan janji kosong, tetapi kita ada perancangan , jentera dan struktur dan mekanisme menolong kaum India dan kita memperolehi banyak kejayaan kebelakangan ini walaupun masih ada kekurangan tertentu yang perlu diberi perhatian.

“Antara sebagai sebuah keajan belum pernah dalam sejarah kita menerima peruntukan besar dari kerajaan hampir RM900 juta sekolah Tamil diluluskan sejak jadi PM untuk pembangunan sekolah vernakular masyarakat India,” tegasnya.