RMRPlus Dilancarkan, Manakala 464 Terima Sijil Kelayakan RMR1M 2017

SEREMBAN, 20 APRIL – Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan menyempurnakan pelancaran Rumah Mesra Rakyat Plus (RMRPlus) serta menyerahkan Sijil Kelayakan dan Inden Kerja Rumah Mesra Rakyat 1 Malaysia (RMR1M) 2017 peringkat Negeri Sembilan bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Paroi (KOMBES), hari ini.

Dalam majlis ini, seramai 464 pemohon di Negeri Sembilan menerima Sijil Kelayakan dan Inden Kerja RMR1M 2017 menjadikan jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan berjumlah RM14.8 juta.

RMRPlus adalah program perumahan baharu yang memberi peluang kepada pemohonan RMR1M yang ditolak kerana pendapatan isi rumah pemohon melebihi had kelayakan ditetapkan iaitu RM3,000 seisi rumah.

Sebagai info, RMRPlus mengambil konsep asas RMR1M yang mana ia dikhususkan kepada golongan yang mempunyai tanah sendiri dan berpendapatan sederhana.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) melalui anak syarikatnya SPNB Mesra Sdn Bhd (MESRA) menawarkan rumah di bawah program RMRPlus dengan harga bermula RM108,888 bagi berkeluasan 1,000 kaki persegi dan RM126,666 bagi berkeluasan 1,200 kaki persegi.

Menteri Besar ketika bercakap kepada media berkata, orang ramai tidak perlu mempersoalkan ke mana duit Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ditujukan dengan melihat pelbagai bantuan yang telah disalurkan kerajaan kepada rakyat, antaranya bantuan perumahan yang dilaksanakan ini.

Katanya Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak telah melihat isu rumah sebagai satu masalah kepada rakyat dan bagi menangani keadaan ini beliau mewujudkan pelbagai skim perumahan.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Dr Haji Awaludin Said; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Seri Haji Mat Ali Hassan dan Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Haji Jalaluddin Haji Alias.