Ronaldo Datang Dari Planet Mana?

Ronaldo Datang Dari Planet Mana?

MADRID, 05 APRIL : Cristiano Ronaldo disifatkan sebagai spesis yang berbeza dan turut mendapat pujian daripada legenda bola keranjang, LeBron James selepas jaringan sepakan guntingnya membantu Real Madrid menumbangkan Juventus 3-0 pada suku akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

“Anda datang dari planet mana?” tanya muka hadapan akhbar harian AS untuk menerangkan jaringan menakjubkan Ronaldo yang juga gol keduanya pada aksi itu sekali gus mematahkan semangat Juventus untuk cuba bangkit pada babak kedua.

Sementara itu, di bahagian dalam menyaksikan Marca menyifatkan Ronaldo sebagai ‘Di Stefano 2.0’ memandangkan Real Madrid tidak pernah menewaskan Juventus di laman lawan sejak mendiang Alfredo di Stefano menjaringkan gol tunggal pada suku akhir pertama Piala Eropah 1962.Di Stefano disifatkan sebagai pemain terhebat pernah beraksi buat Madrid dan membantu mereka meraih Piala Eropah lima kali berturut-turut.

Ronaldo yang menjadi satu-satunya pemain selain Di Stefano untuk meledak gol sekurang-kurangnya dalam tiga aksi final kini semakin hampir untuk berkongsi takhta bersama pemain Argentina itu dengan jaringan menarik itu.

“Cristiano Ronaldo boleh meninggalkan bumi dan mula bermain menentang Martians. Dia sudah melakukan segala-galanya di sini,” kata bekas rakan sepasukannya, Alvaro Arbeloa menerusi Twitter.

Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane mengakui beliau ‘cemburu’ dengan jaringan yang dilakukan oleh Ronaldo.

Sementara itu, James yang juga juara NBA tiga kali turut memuji Ronaldo menerusi Instagram apabila menulis ‘ia sungguh tidak adil’ dengan merujuk kepada jaringan mengagumkan itu. – Reuters