RUU Baharu Bagi Lambang, Anugerah, Gelaran dan Bintang Diluluskan

RUU Baharu Bagi Lambang, Anugerah, Gelaran dan Bintang Diluluskan

SEREMBAN, 07 OGOS –  Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Kesalahan berkenaan Lambang, Anugerah dan Gelaran diluluskan di Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang ke-13 di Dewan Undangan Negeri, Seremban, hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan di sidang media berkata, RUU baharu yang diluluskan ini adalah enakmen yang lengkap bagi memastikan Lambang, Anugerah dan Gelaran ini mempunyai satu sistem perundangan yang mengawal supaya tidak ada penyalahgunaan yang sewenang-wenangnya, sekaligus menghapuskan enakmen sedia ada.

Katanya, kadar hukuman bagi enakmen baharu ini adalah lebih tinggi kepada mereka yang melakukan kesalahan menggunakan Lambang, Anugerah dan Gelaran di dalam apa jua bentuk iaitu hukuman penjara maksimum lima tahun dan kadar kompaun maksimum sebanyak RM500,000.

“Ini adalah satu sistem perundangan yang mengawal supaya tidak ada penyalahgunaan yang sewenang-wenangnya orang yang gunakan gelaran palsu, orang menggunakan lambang yang tidak dibenarkan, saja-saja letak lambang pada kereta yang mana mereka ini bukannya orang yang sepatutnya menggunakan lambang atau gelaran tersebut.

“Mereka yang ada kena mengena atau kaitan dengan isu penyalahgunaan ini baik lambang, mohor atau gelaran serta mereka yang menganjurkan majlis, mereka yang datang, mereka yang menerima serta yang jadi orang tengah semuanya akan didakwa dan dikenakan tindakan,” katanya.

Menurut Menteri Besar, proses pewartaan akan dilaksanakan selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin.

Jelasnya lagi, dalam proses pewartaan ini pengumuman akan dibuat supaya orang ramai tahu satu RUU baharu telah diluluskan hari ini.

Beliau juga menegaskan, mereka yang berkaitan perlu ambil perhatian supaya bila sudah dikuatkuasakan undang-undang ini nanti, dalam tempoh enam bulan tidak timbul lagi soal tidak tahu dan tidak timbul lagi soal mereka boleh lari dari penguatkuasaan.

Ini kerana undang-undang yang dibentangkan ini amat lengkap dan akan dikuatkuasakan setelah selesai proses pewartaan.