Seiring dengan kepercayaan yang diberikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, Sazali terus mengorak langkah membawa pelbagai kemajuan dan pembangunan kepada penduduk di DUN Paya Rumput dan tidak salah jika dikatakan, khid­matnya sebagai wakil rakyat di kawasan itu telah mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Sejak menjadi ADUN di DUN Paya Rumput pada tahun 2013, Sazali telah membina kira-kira 12 buah rumah baharu untuk penduduk miskin di bawah program e-Kasih yang bernilai hampir RM50,000 setiap sebuah bagi kemudahan penduduk kurang berkemampuan di kawasannya.

Beliau juga merupakan seorang pemimpin yang mudah mesra, disenangi penduduk tanpa mengira kaum dan sanggup turun padang dan menjawab panggilan telefon meskipun pada waktu dinihari.

Itulah ciri-ciri pe­mimpin atau wakil rakyat yang mudah didekati penduduk dan beliau sentiasa memikirkan apa yang harus dibuat bagi membantu masya­ra­kat.

DUN Paya Rumput pada PRU-14 akan mempunyai sejumlah 31,825 orang pengundi terdiri daripada 18.852 pengundi Melayu atau mewakili 59.24 peratus, diikuti 10,399 pengundi Cina (32.68 peratus), India sebanyak 2,260 orang (7.1 peratus) dan 314 pengundi lain-lain kaum (0.9 peratus).

Namun bagi Sazali, beliau bukan sahaja berbakti kepada 31,825 pengundi di kawasan DUN ditadbirnya malah jika boleh mahu berkhidmat kepada semua penduduk Melaka, sejajar dengan tugasnya yang bertanggungjawab menjaga hal-hal perumahan dan kerajaan tempatan negeri.

Meskipun baru ber­­khidmat selama se­penggal sebagai ADUN, keterampilan yang ada pada diri Sazali membuatkan beliau layak untuk terus diberi peluang menjadi calon di kawasan itu dan agak malang sekiranya tidak lagi dapat menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Pernah suatu ketika sewaktu penulis menghubungi Sazali untuk kali pertama menerusi telefon, perbualan pertama kami begitu mesra, seolah-olah beliau telah kenal lama dengan penulis dan jika petugas media ingin mendapatkan komen atau reaksi beliau, Sazali tidak pernah menghampakan untuk menjawab setiap persoalan yang ditanya.- UTUSAN ONLINE