Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, PAU 2017 itu akan menjadi perhimpunan kesiapsiagaan ahli-ahli UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya UMUM (PRU) ke-14.

“Semua tahu ini adalah perhimpunan agung terakhir sebelum PRU14. Kita telahpun bersedia lebih awal untuk memastikan bahawa kelancaran PAU kali ini merupakan satu perhimpunan kesiapsiagaan untuk menghadapi PRU14.

“Oleh yang demikian bersama dengan aspirasi Presidan UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak kita membentuk pasukan terbaik bagi memastikan input-input penting disampaikan kepada semua ahli-ahli UMNO di seluruh negara bagi memastikan kemenangan berada di tangan kita,” kata Ab. Rauf.

Ab. Rauf ditemui selepas melakukan lawatan ke Ibu Pejabat Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad di Jalan Utusan hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Penolong Ketua Pengarang, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.

Ab. Rauf berkata, perhimpunan selama tujuh hari itu akan dihadiri lebih 300,000 pengunjung kerana Perhimpunan Agung UMNO menjadi acara kemuncak perjuangan orang Melayu yang akan dizahirkan dalam perbahasan.

Perhimpunan kali ini juga akan disertai oleh golongan muda yang terdiri daripada pemimpin dan golongan seni yang akan menjadi sukarelawan sepanjang PAU 2017 berlangsung.

Sementara itu, Ab. Rauf berkata, ruang di sepanjang laluan di sebelah dewan Tun Dr. Ismail akan diberikan secara eksklusif kepada Kumpulan Utusan untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan pameran.

“Diharap pihak Utusan dapat menggunakan sepenuhnya ruang tersebut untuk membentuk semangat kepada semua perwakilan dan pemerhati yang datang mengenai cabaran dan perjuangan yang ditempuh UMNO sepanjang yang berjaya membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang berjaya,” kata Ab. Rauf.

Selain itu perwakilan dan ahli UMNO turut berpeluang untuk melanggan akbar digital Utusan Malaysia secara percuma.

Menurut Ab. Rauf Sejumlah 1,430 pengamal media telah mendaftar secara dalam talian untuk membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO 2017.-UTUSAN