‘Silap PKR Selangorlah’

‘Silap PKR Selangorlah’

SHAH ALAM – Keputusan Pakatan Harapan yang diketuai DAP tidak menamakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai calon Perdana Menteri merupakan kesilapan yang dilakukan sendiri oleh PKR, bukannya daripada DAP, PAN mahu pun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad apabila beliau menyatakan kepemimpinan tertinggi PKR sebenarnya tidak mengemukakan sebarang nama dalam kalangan pemimpin mereka termasuklah nama Mohamed Azmin untuk dicalonkan ke jawatan berkenaan dalam Mesyuarat Pimpinan Presiden (MPP) Pakatan Harapan yang berlangsung pada di Petaling Jaya, 3 Januari lalu.

Sebaliknya, mesyua­rat yang di­sertai Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PPBM, Tan Sri Muh­yiddin Yassin; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAN, Mohamad Sabu itu sebulat suara bersetuju memilih Pengerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri jika gabungan pembangkang itu berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Sepatutnya, PKR Selangor kalau menerima cadangan daripada pemimpin dan ahli akar umbi mahukan Mohamed Azmin dipilih calon Perdana Menteri, mereka dari awal-awal lagi perlu mengemukakannya kepada pemimpin tertinggi PKR di peringkat pusat untuk dibawa dalam mesyuarat itu.

“Bagaimanapun, apabila isu jawatan Perdana Menteri Pakatan Harapan dibangkit dan dibincangkan dalam mesyuarat MPP, keempat-empat parti (DAP, PKR, PAN dan PPBM) tidak mengemukakan senarai calon masing-ma­sing dan sebulat suara bersetuju dengan pemilihan Dr. Mahathir.

“Jadi silap PKR Selangor lah yang tidak bawa cadangan nama calon Perdana Menteri untuk diangkat oleh pemimpin parti mereka. Dalam mesyuarat, cadangan dibuka kepada semua parti untuk menamakan nama calon lain selain daripada Dr. Mahathir, tapi semua parti senyap,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Justeru, Khalid turut meminta supaya PKR Selangor agar terus akur dengan keputusan yang telah diputuskan oleh MPP Pakatan Harapan yang diketuai DAP yang memilih Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri selain menghentikan polemik membabitkan isu jawatan berkenaan.

Malah, beliau me­ngakui bahawa pelantikan Dr. Mahathir itu merupakan antara strategi Pakatan Harapan yang diketuai DAP untuk menarik soko­ngan pengundi Me­layu khususnya dalam kalangan ahli UMNO.

Sebelum ini, bebe­rapa pemimpin PKR Selangor menolak keputusan Pakatan Harapan yang diketuai DAP kerana mencalonkan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Ketujuh sekiranya gabungan pembangkang itu menenangi PRU-14 dan menguasai kerajaan.

Penolakan ke atas Dr. Mahathir itu disuarakan Timbalan Pengerusi PKR negeri, Zuraida Kamaruddin apabila secara terbuka menyatakan bantahan terhadap amalan ‘kitar semula’ pe­mimpin oleh Pakatan Harapan selain mencadangkan bekas Perdana Menteri itu dilantik sebagai menteri kanan sahaja.

Selain Zuraida, penolakan yang mana turut dibangkitkan Timbalan Ketua Wanita PKR Selangor, Dr. Daroyah Alwi yang terang-terangan mahu Mohamed Azmin dicalonkan untuk jawatan tertinggi itu manakala Ketua Komunikasi PKR negeri, Hizwan Ahmad pula mahu jawatan itu dipilih dalam kalangan ‘tokoh segar’ dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Terbaharu, Setiausaha PKR Selangor, Amirudin Shari semalam menyatakan pihaknya akur dengan keputusan MPP Pakatan Harapan itu, bagaimanapun pihaknya mahu kepemimpinan tertinggi parti supaya tidak me­ngenepikan pandangan serta suara akar umbi berhubung isu jawatan berkenaan.